4 Perusahaan Produk Fucuk Di Bekas Kandang Babi Diserbu

Nibong Tebal: Empat perusahaan memproses fucuk secara tradisional yang diusahakan sebuah keluarga di Valdor, Sungai Bakap, di sini, didapati mengabaikan tahap kebersihan dengan membiarkan pelbagai haiwan berkeliaran hingga mencemarkan produk makanan yang dikeluarkan.

Bukan itu saja, premis berkenaan didapati didirikan di bekas tapak kandang babi sekali gus menyebabkan kawasan berkenaan dihurung ribuan lalat bahkan terdapat lalat mati dalam peralatan memproses fucuk terbabit.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kira-kira jam 10 pagi tadi, empat perusahaan itu beroperasi memproses fucuk berkenaan antara lapan hingga 40 tahun lalu tanpa memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tinjauan di empat premis yang terletak dalam ladang kelapa sawit itu mendapati kesemua pemilik dan pekerja mengabaikan kebersihan apabila tidak mengendalikan produk fucuk dengan baik apabila tidak memakai apron, topi dan sarung tangan selain ada yang menggunakan mesin membersihkan kacang soya yang sudah berkeladak serta bersawang.

Selain itu, produk fucuk yang menggunakan empat label berbeza itu didapati tiada logo halal pada plastik pembungkusan.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, serbuan dijalankan melalui hasil risikan dan pemantauan pihaknya sejak tiga minggu lalu.

“Melalui semakan, kesemua premis itu dibuka secara berperingkat di tanah berstatus pertanian yang ia tidak sepatutnya wujud walaupun ia tanah sendiri, apatah lagi tidak mendapat kebenaran daripada PBT memandangkan mahu membina premis berasaskan makanan.

“Disebabkan kewujudan premis itu di atas tanah pertanian menyebabkan kawasan berkenaan dipenuhi lalat dan paling teruk membiarkan pula pelbagai haiwan antaranya anjing dan kucing berkeliaran dalam premis itu menyebabkan tahap kebersihan diabaikan yang dibimbangi masyarakat yang memakan produk ini mendapat keracunan makanan,” katanya selepas mengadakan operasi di keempat-empat premis itu, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, berikutan kesalahan berkenaan pihaknya mengeluarkan lima kompaun di bawah Peraturan 32 Akta Makanan 1983 ke atas pemilik premis terbabit yang berjumlah RM8,500.

“Kita turut memberi amaran keras kepada semua pemilik premis supaya mengambil tindakan pembersihan segera berikutan produk fucuk itu bukan saja dalam dipasarkan di kedai runcit sekitar Pulau Pinang bahkan juga memasuki Kedah.

“Pada masa sama kita minta pihak berwajib turun memantau premis seperti ini yang beroperasi tanpa lesen serta terletak di kawasan kelapa sawit dan ternakan ayam tanpa kebenaran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, dalam operasi sama pihaknya turut mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM5,000 terhadap pemilik kedai runcit di Sungai Bakap.

“Kompaun itu dikeluarkan selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan dan penyimpanan barangan yang tidak menepati syarat.

“Dalam operasi ini, kita juga merampas makanan ringan dan snek makanan yang dianggarkan bernilai RM200 yang didapati sudah tamat tempoh,” katanya.

Jelasnya, operasi kedai runcit itu dilakukan lelaki warga Pakistan yang berkahwin dengan wanita tempatan sejak 19 tahun lalu.-HM

Asrama pekerja asing sesak, kotor, berbau

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker