35 terbunuh dalam pergaduhan antara petani dan pengembala

Kira-kira 35 orang terbunuh dalam pertempuran antara masyarakat pengembala separa nomad dan petani di tenggara Chad.

Setiausaha Agung Wilayah, Mara Maad, berkata tragedi itu berlaku di Salamat, di mana petani diserang ketika mereka melalui sekatan jalan haram, mengakibatkan seorang petani terbunuh dan dua lagi cedera.

Petani menyalahkan pengembala lembu tempatan dan melancarkan serangan ke atas mereka Isnin lalu, mendorong pihak berkuasa menghantar tentera untuk memulihkan keadaan pada hari yang sama.



“Pertembungan dalam kalangan masyarakat ini menyebabkan 35 kematian, termasuk seorang tentera,” katanya.

Pengembala dan petani mempunyai sejarah yang panjang dan bermasalah di selatan Chad, di mana senjata dan kekerasan sering diguna bagi menyelesaikan masalah ternakan memusnahkan tanaman.

Iklim sederhana di Sahel menghasilkan tanaman yang subur dan sejak berabad lamanya menarik pengembala dari kawasan gersang, kebanyakan warga Arab, yang menjadikan wilayah itu sebagai padang ragut bagi ternakan mereka.

Pada November lalu, 22 orang terbunuh dalam pertempuran petani dan pengembala di Kabbia, juga di selatan sementara itu hampir 50 terbunuh dalam konflik etnik di Chad pada Disember dan Januari lalu. – AFP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker