Pengisytiharan Harta RM72 ribu dan Pendapatan RM34,004.48, mana dapat RM1 juta – Adun Canning

Seorang Adun DAP hari ini menuntut penjelasan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkenaan sumber yang digunakannya untuk membayar hutang lebih sejuta ringgit, agar tidak diisytihar muflis.

Adun Canning, Jenny Choy membangkitkan soal kekayaan Rina berdasarkan senarai pengisytiharan harta yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

“Rina dilaporkan telah langsaikan hutang dengan syarikat filem berpangkalan di Paris. Sebelum itu dia diberi Notis Kebangkrapan atas hutang berjumlah RM1,340,642.02.

“Dia perlu jelaskan bagaimana dia dapat kumpul wang secukupnya untuk bayar hutang sebesar itu dalam masa singkat iaitu 15 bulan, memandangkan maklumat dalam Pengisytiharan Harta menunjukkan asetnya hanya RM72,000 dengan pendapatan RM34,004.48 (ketika itu), ketika ia ditunjukkan kepada awam pada 20 Nov 2019,” katanya dalam kenyataan.

“Jika pendapatan Rina tidak berubah sejak 2019, dia perlukan 40 bulan untuk mengumpul dana dan selesaikan hutang, dengan syarat dia tidak belanja walau satu sen daripada pendapatan itu,” katanya lagi.

Choy juga mempersoalkan jika Rina membuat pengisytiharan palsu berkenaan asetnya pada November 2019.

“Sebagai seorang menteri kabinet dan penjawat awam, Rina perlu memberi penjelasan,” katanya yang juga naib ketua Pemuda DAP.

Jenny Choy

Semalam, Free Malaysia Today memetik Mark Ho, peguam yang mewakili syarikat produksi dan filem Sarl Novovision, yang memaklumkan Rina telah menyelesaikan hutangnya minggu lalu.

Bagaimanapun dia enggan mendedahkan jumlah tunggakan yang dibayar Rina.

“Kita terima cek pada Rabu dan ia dijelaskan keesokannya,” katanya.

Syarikat tersebut memfailkan saman terhadap Rina pada 8 November 2018. Ketika itu, ia menuntut Rina menjelaskan hutangnya sebelum 31 Julai 2019.

Tuntutan itu untuk beberapa filem, dokumentari dan rancangan komedi yang dijual kepada tiga syarikat, yang mana Rina menjadi pengarahnya.

Rina menerima Notis Kebangkrapan untuk hutang terhadap Sarl Novovision berjumlah RM1,340,642.02, setakat 17 November 2020.

Rina merupakan salah seorang pengarah syarikat Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd – yang kini telah ditutup – yang membeli beberapa program daripada syarikat itu.

Pada Mei 2014, Rina dan seorang lagi pengarah, Ida Rahayu Md Noor, memeterai perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision untuk secara peribadi dan bersama menanggung semua liabiliti syarikat.

Bagaimanapun, tiga syarikat itu masing-masing telah ditutup pada Disember 2013 hingga Ogos 2015. MK

Leave a Reply