“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji, tiada kerja, tiada gaji” – Fauziah Nawi
Pelakon veteran, Fauziah Nawi meluahkan kelegaan selepas dapat berkongsi masalah dan keperitan dihadapi serta keadaan sebenar diharungi anak seni kepada pegawai-pegawai Istana Negara pada Rabu.
Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Fauziah turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan kepekaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap keluhan penggiat seni yang terkesan akibat COVID-19.
Menurut seniwati itu, beliau dan beberapa rakan seperjuangan bertemu pegawai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pagi Rabu selepas mendapat titah perkenan baginda.
“Patik-patik semua juga telah memberi beberapa pandangan dan cadangan supaya anak-anak seni, tanpa mengira cabang seni yang kami ceburi.
“Khususnya supaya diberi kelonggaran dengan ketetapan SOP untuk bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup kami dan keluarga-keluarga kami.
“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji. Tidak ada kerja, tak ada gaji. Sejak penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP, anak-anak seni tidak terkecuali dari tekanan ekonomi,” tulis Fauziah dalam status terbaharu di laman Facebook peribadinya, pada Rabu.
Dalam status tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berwajib dan semua persatuan dalam industri seni atas usaha baik dalam menangani masalah yang dihadapi.
“Semoga luahan dan perkongsian patik-patik semua ini mendapat perhatian Seri Paduka Baginda yang amat prihatin terhadap nasib dan keperitan hidup rakyat yang amat terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
“Patik-patik semua mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan berpanjangan serta berada di bawah riayah dan perlindungan Allah SWT serta kekal memerintah negara dan menaungi rakyat dengan adil dan saksama,” ujar pelakon ternama itu lagi.-Awani
Fauziah Nawi Sanggup Jumpa Agong Dan Perdana Menteri? Ini Puncanya..
You must be logged in to post a comment.