Indonesia akan sekat laman Tiktokcash

JAKARTA: Kementerian Maklumat dan Komunikasi akan menyekat laman Tiktokcash yang menawarkan pengguna sejumlah wang selepas menonton video di platform TikTok.

Jurucakap kementerian, Dedi Permadi, berkata kementerian itu sudah menyekat Tiktokcash.com dan kini dalam proses untuk menyekat platform media sosial Tiktokcash.

Menurut portal antaranews.com, laman web itu disekat kerana berfungsi sebagai transaksi elektronik yang melanggar undang-undang.

Sehingga petang semalam, Tiktokcash.com masih boleh diakses. Pengendali laman web itu menerusi pemberitahuan yang dipaparkan di laman utama mengaku menerima “berita serangan/penipuan” selepas meraih populariti.

Laman web Tiktokcash menawarkan wang kepada pengguna selepas menonton video di plaftorm video pendek Tiktok.

Laman web itu mendakwa pihaknya menjadi platform “menghubungkan pengguna Tiktok dengan ekonomi selebriti internet”.

Sebelum menerima wang, pengguna internet perlu mendaftar di laman web berkenaan dengan menyertakan nombor telefon bimbit dan e-mel.

Tiktokcash menawarkan pakej keahlian antara Rp89,000 (RM25.73) untuk ‘kerja sementara’ yang sah untuk lapan hari hingga ‘pengurus besar’ pada kadar Rp49,999,000 (RM14,455) untuk 365 hari.

Ketua Komunikasi TikTok Indonesia, Catherine Siswoyo, menyatakan laman web itu tiada kaitan dengan platform Tiktok.

“Hanya baru-baru ini kami mengetahui bahawa laman web itu menggunakan nama TikTok dan meminta wang daripada pengguna. Laman web itu sama sekali tiada kaitan dengan TikTok. Kami tidak akan meminta dan tidak pernah meminta wang daripada anda,” katanya.

TikTok meminta pengguna berhati-hati dengan tawaran berkenaan. – AGENSI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker