Pendakwaan Trump: Video mengerikan perusuh merempuh masuk ke Capitol didedah

WASHINGTON: Pihak pendakwaraya mendedahkan video baharu sebagai bahan bukti dalam perbicaraan pendakwaan Donald Trump pada Rabu, yang menunjukkan kumpulan perusuh memecah masuk ke Capitol.

 

Rakaman menunjukkan perusuh memusnahkan tingkap dan pintu serta memburu Naib Presiden ketika itu, Mike Pence dan Speaker Dewan Perwakilan (DPR), Nancy Pelosi.

Turut dapat disaksikan dalam video mengerikan itu ialah bagaimana anggota polis terdesak meminta bantuan menerusi radio mereka.

Dalam rakaman dari kamera keselamatan itu, para perusuh dilihat berkeliaran sambil melaungkan “Gantung Mike Pence”, sambil membawa senjata.

Video berkenaan juga memaparkan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai melalui tingkap yang pecah, menyebabkan seorang wanita, Ashli Babbitt, maut.

Pence kemudiannya dibawa bersembunyi di sebuah pejabat bersama keluarganya, dengan jarak hanya 100 kaki dari perusuh.

Pelosi dipindahkan dari kompleks tersebut manakala kakitangannya bersembunyi di sebalik pintu di pejabatnya.

Anggota polis yang panik dengan jumlah perusuh yang semakin tidak terkawal, membuat pengumuman agar semua anggota mencari tempat berlindung. Seorang anggota polis tersepit dan seorang lagi didakwa mengalami serangan jantung.

“Mereka melakukannya kerana Donald Trump menghantar mereka dalam misi ini,” kata pendakwaraya, Stacey Plaskett, perwakilan Demokrat yang mewakili Kepulauan Virgin.

Wakil Demokrat menunjukkan banyak bukti dari bekas presiden itu sendiri, antaranya ratusan ciapan di Twitter dan komen Trump yang membangkitkan protes pada 6 Januari lalu, demi menebus kekalahannya dalam pilihanraya Presiden AS.

Trump kemudian tidak melakukan apa-apa untuk membendung situasi tersebut dan hanya ‘menyaksikan insiden itu dengan gembira’.

Trump adalah presiden pertama berdepan pendkawaan selepas tamat penggal pentadbiran.

Beliau juga presiden pertama berdepan pendakwaan sebanyak dua kali.

Leave a Reply