Putrajaya setuju beri vaksin Covid-19 percuma kepada warga asing

Mesyuarat Kabinet setuju memberikan vaksin percuma kepada golongan bukan warganegara yang menetap di negara ini, susulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula penghujung bulan ini.

Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin berkata, keputusan pemberian vaksin secara percuma dibuat kerana akses bekalan vaksin Covid-19 yang diperolehi Malaysia adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara yang layak menerimanya.

“Walaupun begitu, keutamaan pemberian vaksin Covid-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu. Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

 

 

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung Feb ini dan menyasarkan sebanyak 80% populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma membabitkan tiga fasa.

Fasa pertama membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan, ddalam program imunisasi yang dijadualkan tamat pada Apr.

Fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. Mereka ialah warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula Mei hingga Feb tahun depan, dengan fasa ini bertujuan membentuk perlindungan kelompok, seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh.

Tambah Adham dan Khairy, keputusan memberikan vaksin secara percuma kepada golongan bukan warganegara dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, antaranya persekitaran selamat serta bebas Covid-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk di Malaysia diberikan vaksin.

“Bahkan, dalam tempoh pandemik, pemberian vaksin merupakan suatu langkah yang berperikemanusiaan.

“Rekod jumlah pesakit yang ramai adalah menerusi kluster daripada pekerja asing yang bekerja di sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan,” katanya.

Jelasnya lagi, pekerja asing juga sudah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara serta terdapat negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara berkenaan.

“Kos rawatan dan kuarantin pesakit Covid-19 yang tinggi, akibat daripada jangkitan kluster pekerja asing. Ia selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu “Lindungi Diri, Lindung Semua”, serta menerusi pendekatan “Tiada yang selamat sehingga semua adalah selamat,” katanya.-FMT

PM: Vaksin Covid-19 akan diberi percuma

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker