Penolong pegawai seni bina MBPJ didakwa terima suapan RM377,696

08/02/2021 02:22 PM

SHAH ALAM, 8 Feb — Seorang penolong pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM377,696, tiga tahun lalu.

Ahmad Hasrul Ahmad Nordin, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Penolong Pegawai Seni Bina Jabatan Kejuruteraan MBPJ untuk mendapatkan suapan dengan menyedia dan menandatangani Borang Arahan Kerja bagi tuntutan pembayaran berjumlah RM318,762.54 berkaitan Kerja-kerja Penyelenggaraan Tahunan Kuarters MBPJ (Zon A) fasa satu tahun pertama kepada syarikat Foller Trading.

Dia yang mempunyai kepentingan dalam pelaksanaan kerja-kerja tersebut menggunakan Foller Trading, selaku syarikat pelaksana untuk menerima suapan berjumlah RM302,824 melalui syarikat Zie Maju Construction milik adik lelakinya setelah menolak lima peratus bayaran wang sewaan lesen syarikat.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Hasrul didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan menyediakan dan menandatangani borang sama bagi tuntutan pembayaran sebanyak RM78,813.60 berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan tahunan fasa dua tahun pertama kuarters sama kepada Foller Trading.

Dia yang mempunyai kepentingan dalam pelaksanaan kerja-kerja tersebut menggunakan Foller Trading, selaku syarikat pelaksana untuk menerima suapan RM74,872 melalui syarikat miliknya Hasraf Design Construction setelah menolak lima peratus bayaran wang sewaan lesen syarikat.

Ahmad Hasrul dituduh melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di MBPJ pada pada 4 Jun 2018 dan 28 Dis 2018 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor.

Peguam tertuduh, Ariff Azami Hussein memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM20,000 memandangkan Ahmad Hasrul perlu menanggung isteri serta tiga anaknya.

Rozilah menetapkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dan menetapkan 9 Mac untuk sebutan semula kes.

2 pertuduhan kes rasuah Guan Eng akan dipinda – Pendakwa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker