3 maut bertembung trak tentera

Tuaran: Tiga maut manakala tujuh lagi terselamat apabila tiga kenderaan, termasuk trak tentera bertembung di Simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis – Tenghilan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, penunggang motosikal Yamaha Ego S Jul Amri Shamsudin, 25, bersama pembonceng yang juga abang angkatnya, IL Yasa Shamsudin, 35, dan seorang anggota polis Shamsully Adly, 45, memandu kereta Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala, tujuh individu yang menaiki trak tentera Hino tiga tan, termasuk pemandu dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kemalangan berlaku apabila trak tentera bertembung dengan motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang jalan sebelum merempuh kereta Perodua Kancil di laluan bertentangan.

“Siasatan awal mendapati trak tentera itu dipandu dari arah Tamparuli menghala ke Tenghilan, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, motosikal dinaiki dua lelaki keluar dari simpang Jalan Marabahai Spurs menyebabkan pemandu trak berusia 24 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal terbabit.

“Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terseret ke laluan susur sebelum trak hilang kawalan ke laluan bertentangan kemudian bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dipandu dari arah Kota Belud,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, dua mangsa menaiki motosikal itu maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan, begitu juga anggota polis memandu kereta Perodua Kancil yang turut terkorban dalam kemalangan itu selepas terperangkap di tempat duduk pemandu.

“Tiga mangsa yang maut dihantar ke hospital Tuaran untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan, Shamsully dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bolong, Tuaran selepas tamat bertugas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.08 pagi berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai lapan anggota dikerah ke lokasi dengan sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mengambil masa 24 minit mengeluarkan pemandu kereta Perodua Kancil yang tersepit.

“Semua mangsa terselamat menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan 9.29 pagi,” katanya.-HM

Remaja terselamat, enam rakan ‘belasah’ buaya di Tuaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker