Kerjasama Umno, Bersatu dan PAS rapuh tidak benar – Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menyanggah ramalan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu sebagai rapuh dan akan terurai semasa pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Annuar, memang tidak dinafikan untuk membentuk gabungan baru dan kerjasama seperti Umno, PAS dan Bersatu wujud perkara-perkara yang perlu dirunding, diperkemasa dan dia yakin usaha itu masih diteruskan.

“Ini usaha yang dibuat ketika saya jadi setiausaha agung BN dan setiausaha agung Umno lagi, usaha-usah membentuk gabungan yang kuat dimulakan dengan Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS.

“Kemudian kita setuju jemput Bersatu supaya gabungan jadi lebih kuat.

“Ramalan Tun (Mahathir) gabungan itu rapuh tidak berapa tepat kerana antara Umno dan PAS boleh dikatakan terbentuk persefahaman yang agak jitu, tinggal ada sedikit komplikasi antara Umno dan Bersatu,” katanya.

Menurut ahli parlimen Ketereh itu lagi Umno juga masih meninjau-ninjau pendapat yang pelbagai mengenai keadaan berkenaan.

“Saya yakin Umno dapat uruskan perbezaan pendapat dan yang penting Umno perlu ada formula dan strategi untuk menang PRU… saya yakin Umno dapat selesaikan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina di Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

UMNO ada kompleks tinggi diri, lupa kalah PRU – Annuar Musa

Tak timbul isu rapuh

Annuar berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mahathir mengenai kerjasama Bersatu, PAS, dan Umno hanya berlangsung demi kepentingan politik masing-masing.

Ahli parlimen Langkawi itu kemudian meramalkan jalinan kerjasama mereka ‘rapuh’ dan akan terurai pada PRU ke-15.

Sebagai rekod Ummo kini dilihat menghadapi perbezaan pendapat yang ketara dalam situasi politik semasa termasuk sesama pimpinan parti tersebut.

Antara lain ada kem yang dilihat tidak bersetuju dengan pendekatan Annuar kerana dia dianggap lebih memihak kepada Bersatu yang diasaskan oleh bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin.

Bersatu juga tidak disenangi Umno kerana banyak ‘melarikan’ kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU ke-14 lalu. Antaranya Jeli, Bagan Serai dan Larut.

Kerusi itu dimenangi penyandang atas tiket Umno namun mereka melompat menyertai Bersatu selepas BN gagal mendapat mandat daripada rakyat pada 2018.

Annuar berkata, isu kerapuhan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu tidak timbul kerana ia belum pun diikat secara rasmi.

“Yang mengikat adalah kerajaan PN, jadi saya menjangkakan pucuk pimpinan Umno akan teruskan perbincangan dan perundingan sehingga dapat satu formula.

PRU15: PAS tak kerjasama dengan Umno jika tanpa Bersatu – Annuar

“Yang penting, pada akhirnya Bersatu, Umno dan PAS perlu memenangi PRU ke-15.

“Saya fikir kita boleh bersabar dan beri peluang kepada pimpinan parti,” katanya.

Dalam perkembangan sama Annuar berkata, dia difahamkan pengurusan Umno pada minggu lalu sudah memberi lampu hijau agar rundingan pengagihan kerusi dengan Bersatu diteruskan.

Katanya, setakat ini tiada sebarang perundingan mengenai kerusi dibuat kedua-dua parti berkenaan.

“Sebab setakat yang saya tahu sebelum ini tidak pernah dibuat lagi agihan kerusi antara Umno dan Bersatu.

“Setakat saya pegang jawatan sebelum ini, belum ada sebarang perbincangan khusus antara Umno dan Bersatu.

“Secara tak rasmi saya berani menyatakan kedua-dua pihak ada wish list (senarai kehendak) masing-masing dan saya juga berani menyatakan perbezaan itu ada tapi tak terlalu payah (diselesaikan).

“Antaranya, Bersatu boleh faham Umno bertanding di kerusi lebih tinggi sebab ada kubu kuat yang berpotensi tinggi. Keduanya, dah dipersetujui Umno bertanding guna logo BN dan Bersatu guna logo PN,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker