[VIDEO] Dusun Musang King Terbesar Dunia Di Kedah? Kami Akan Siasat, kata MB Kedah

ALOR SETAR: Kedah akan menyiasat dakwaan bahawa sekurang-kurangnya 30,000 ekar (12,140ha) tanah bukit antara Kulim dan Baling akan dijadikan “dusun Musang King terbesar dunia”, seperti didakwa seorang lelaki dalam video yang tidak bertarikh.

Kawasan dilaporkan terlibat adalah sekitar dua setengah kali ganda lebih besar dari Putrajaya.

Dalam klip video itu, seorang lelaki dilihat mendakwa bahawa kawasan Gunung Inas akan menjadi “dusun durian terbesar”, dengan 500 anak pokok Musang King sudah ditanam.

Gunung Inas terletak di tenggara Kedah, antara Baling di utaranya dan Kulim di selatan, manakala sempadan Perak tidak jauh dari situ di timurnya.

Lihat VIDEO DIBAWAH:-
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=59cXhXbyiTg[/embedyt]

Bercakap kepada FMT, Menteri Besar (MB) Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu isu lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, dengan menambah ia telah ditangani tahun lalu.

Menurutnya, selepas mengambil alih sebagai MB Mei tahun lalu, beliau telah mengarahkan kerja-kerja menanam durian di Gunung Inas dihentikan selepas mengakibatkan banjir lumpur di kawasan lembah, dua bulan kemudian.

Sanusi berkata, pembersihan tanah itu juga disyaki menjejaskan sungai yang memanfaatkan 3,000 penduduk kampung.

“Saya telah mengarahkan agensi yang relevan untuk kembali dengan laporan status serta-merta,” katanya ketika dihubungi.

Julai lalu, laporan mengatakan Sanusi telah mengarahkan satu syarikat yang menanam durian di lokasi seluas 600ha berhampiran Gunung Inas supaya menanam tanaman penutup bumi dan pokok balak di situ, selepas kawasan Kupang di Baling mengalami banjir lumpur dibawa dari bukit berkenaan.

Pada Disember 2019, pengerusi jawatankuasa alam sekitar Kedah ketika itu, Simon Ooi Tze Min mendedahkan pemilik lokasi itu telah memperoleh kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) pada 2013, termasuk daripada Jabatan Perhutanan.

Ini susulan banjir yang melanda Kupang pada 2019. Ooi ketika itu berkata, pihak berkuasa akan menyiasat sama ada pembersihan lereng bukit menjadi punca banjir berkenaan.

Sementara itu, presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata, dusun durian tidak patut dibenarkan di kawasan hutan kerana akan menjejaskan keaslian hutan hujan.

“Negara sudahpun berdepan kontroversi berhubung kelapa sawit dan kemusnahan hutan, dan kini perlu berdepan pula isu durian.

“Hutan adalah kawasan tadahan karbon semulajadi dan kita perlu lakukan apa saja yang termampu untuk mengurangkan perubahan iklim dengan menghalang pembersihan hutan. Dakwaan dalam video itu mesti disiasat,” katanya.

Aktivis alam sekitar Shariffa Sabrina Syed Akil berkata individu utama yang mempunyai kuasa menghentikan pembersihan hutan seperti itu adalah menteri besar.

Katanya, kerajaan negeri perlu menjelaskan sama ada kelulusan EIA diberikan, dan sekiranya ada, siapa yang meluluskannya.

Sebelum ini…

KERAJAAN Kedah mengarahkan syarikat yang menjalankan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di Baling supaya menghentikan segera aktiviti terbabit bagi mengelak berlakunya banjir kilat berterusan di Mukim Kupang.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tanah seluas 600 hektar di kawasan itu akan ditanam dengan tanaman penutup bumi dan pokok balak supaya kelestarian alam terjamin di masa depan.

“Sebelum ini setiap kali hujan lebat, banjir lumpur akan memasuki rumah penduduk di Mukim Kupang, kita peka dengan masalah rakyat jadi kerajaan negeri mengambil keputusan akan menanam semula kawasan yang sudah digondol dengan pokok balak.

“Kita akan mengarahkan syarikat terbabit supaya menghentikan segera projek itu dan ia akan diganti dengan tanaman asal,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeridi Pejabat Daerah Baling hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Tiak, Mukim Kupang, selepas rumah mereka dinaiki air.

Pada November tahun lalu, media juga pernah melaporkan lebih 100 penduduk di kawasan Bayu dan Kupang terjejas akibat banjir lumpur yang dipercayai berpunca daripada projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas.

Aktiviti pembalakan dan penanaman Musang King di gunung berkenaan dipercayai menyebabkan sungai yang menjadi sumber air kira-kira 3,000 penduduk kampung berdekatan bertukar keruh sepenuhnya.

 

‘Kamu patut dipenjarakan’ netizen Cina bidas pekebun haram Raub

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker