Isteri Jho Low gagal dapat kerakyatan Cyprus

 

Ahli perniagaan Low Taek Jho barangkali mendapat reputasi sebagai “playboy” menerusi hubungannya dengan selebriti seperti Paris Hilton, Miranda Kerr dan Elva Hsiao.

Tapi tak banyak yang diketahui tentang wanita yang menjalinkan hubungan yang lama dengannya – Jesselynn Chuan Teik Ying. Chuan adalah teman wanita dan kemudian menjadi isteri Jho Low.

Dia juga kekal bersamanya di saat penyiasat sejumlah negara memburunya berkaitan skandal 1MDB.

Banyak yang telah ditulis tentang parti Jho Low dengan wanita terkenal tetapi tidak banyak maklumat berkenaan Chuan. Setakat yang ada, kebanyakannya adalah daripada saksi mata dan sebahagiannya diterbitkan dalam buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World yang ditulis wartawan Bradley Hope dan Tom Wright.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul maklumat baru yang menunjukkan Chuan pada 2019 cuba untuk mengikut langkah suaminya untuk “berlindung” di Cyprus.

Ini menurut penyiasatan bersama oleh Sarawak Report dan Organised Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP) yang menyiasat peranan sebuah syarikat di UK dalam membantu Low dan sekutunya mendapatkan kewarganegaraan Cyprus.

Siasatan mereka mendapati Henley & Partners yang berpangkalan di London membantu Jho Low untuk mendapatkan kewarganegaraan Cyprus dan mengaturkannya menerusi syarikat di sana, FidesCorp Services Limited.

Syarikat itu bagaimanapun menafikan Jho Low sebagai pelanggan mereka.

Henley & Partners mendapat bayaran dan komisen berjumlah 710,000 euros (RM3.47 juta). Syarikat itu menegaskan mereka tidak bertindak secara tidak wajar dan menyalahkan pekerja kerana gagal mematuhi prosedur.

 

 

Jho Low mendapat pasport Cyprus pada 2015, di saat skandal 1MDB kian mendapat perhatian, termasuk daripada badan siasatan antarabangsa.

Siasatan mendapati isteri Jho Low, Chuan cuba membuat perkara sama pada 2019 tetapi permohonannya gagal memandangkan perkaitan Jho Low dengan negara itu terdedah pada tahun sama.

Ia menyebabkan skim “kewarganegaraan-untuk-pelaburan” Cyprus kian diperhatikan.

“Pada 2019, Jho Low adalah salah seorang pelarian paling terkenal di dunia. Tetapi ia tidak menghalang pembekal perkhidmatan di Cyprus menghulurkan bantuan sekali lagi,” kata siasatan itu.

Chuan membuat permohonan pada Mei 2019. FidesCorp sekali lagi bertindak sebagai ejennya.

Bagaimanapun nasibnya kurang baik. Kerajaan Cyprus berdepan kritikan dan perhatian umum terlalu tinggi.

“Permohonannya ditarik balik sekitar waktu yang sama skandal (1MDB) terdedah,” menurut OCCRP.

Gereja Kristian Ortodoks Cyprus turut terpalit dengan isu pasport Jho Low. Ia dilaporkan melobi untuk Jho Low setelah ahli perniagaan itu menjanjikan sumbangan.

Jho Low mendapat pasport Cyprus menerusi Pelan Pelaburan Cyprus yang mensyaratkan pihak berminat mendepositkan lima juta euro dalam bank Cypruse selama tiga tahun dan membeli rumah dengan harga sekurang-kurangnya 500,000 euros (RM2.44 juta).

Dia kemudian membeli sebuah villa yang belum siap di Cyprus dengan harga tersebut pada 23 September 2015.

Menurut dokumen yang diperolehi Sarawak Report dan OCCRP, Jho Low menyatakan dana untuk kewarganegaraan itu akan dipindahkan daripada HSBC di Hong Kong.

Terdahulu, laporan khas Malaysiakini dengan Konsortium Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) mendedahkan, HSBC hanya mengambil tindakan terhadap kegiatan meragukan Jho Low pada 2017 – kira-kira dua tahun setelah dia mula disiasat beberapa negara.

Adik Jho Low, Low Taek Szen dan dua lagi individu yang terlibat dalam skandal 1MDB, Loo Ai Swan dan Tan Kim Loong turut memohon kewarganegaraan Cyprus sebelum Chuan.

Menteri Dalam negeri Cyprus, Nicos Nouris memberitahu OCCRP yang permohonan ketiga-tiganya tidak diluluskan tetapi enggan mengulas lanjut berkenaan pemilikan hartanah mereka di sana.

Paris Hilton dan Jho Low

 

Loo, Tan dan Chuan membuat permohonan dalam tempoh yang hampir sama dengan Jho Low, iaitu pada 2015.

Kerajaan Cyprus menggantung program kewarganegaraan tahun lalu susulan tekanan daripada Kesatuan Eropah (EU). Ia turut membatalkan kewarganegaraan 26 individu, termasuk seorang rakyat Malaysia.

Bagaimanapun ia tidak mendedahkan sama ada rakyat Malaysia itu adalah Jho Low atau bukan.

Dengan mengambil kira isteri Jho Low sendiri cuba membuat perkara sama hanya pada dua tahun lalu membayangkan Jho Low dan sekutunya masih memiliki akses terhadap dana yang besar.

Menurut buku Billion Dollar Whale, Chuan adalah anak kepada seorang pemilik restoran makanan laut di Pulau Pinang.

Menurut buku itu lagi, Chuan beberapa kali putus dengan Jho Low tetapi berbaik semula dan menahan saja sikap teman lelakinya yang suka memberi hadiah kepada wanita lain.

Sebelum skandal 1MDB didedahkan, Low sering membawa Chuan ke Amerika Syarikat tetapi tidak membawanya bersama-sama ketika berparti.

Chuan antara tetamu yang hadir ke tayangan perdana The Wolf of Wall Street, yang didakwa didanai Jho Low dengan dana 1MDB.

Menurut buku itu, ketika tayangan perdana di New York ketika musim sejuk 2013 itu, Chuan duduk di sebelah ibu Jho Low.

Pada 2015 pula, Chuan dilihat bersama Jho Low dan seorang bayi lelaki, kata buku itu lagi.

Leave a Reply