Umi mahu belanja netizen laksa sarang

Allahyarham bersama ibu angkatnya yang penyayang sebelum kanak-kanak malang ini diambil oleh ibu kandung dan bapa tirinya

MELAKA – Ibu angkat kanak-kanak yang maut selepas dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini, Jumaat lalu menawarkan laksa sarang percuma kepada semua netizen sebagai jamuan tahlil anaknya itu, tadi.

Norlida Abu Hassan, 50, membuat jemputan itu menerusi rakaman siaran langsung menggunakan akaun sosial Instagram anaknya @tuhfahnazira dengan menyertakan alamat kediamannya di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

“Terima kasih pada warga netizen, Umi gembira sangat, jadi Umi nak jemput kalau Umi sudah balik sana (Rawang, Selangor) jemputlah datang ke rumah Umi. Siapa datang rumah Umi, dapat makan laksa sarang.

“Umi nak buat macam ini, Umi nak guna sikit sumbangan yang diberikan oleh orang ramai untuk arwah Amir (mangsa), satu hari Umi nak buat, sesiapa pun boleh pergi (datang ke rumah) makan free.

“Terima kepada semua warga netizen yang memberi sokongan kepada Umi, keluarga Umi.. anak-anak, sepanjang tiga hari ini,” katanya.

Ujarnya, bagaimanapun dia mungkin akan mengusahakan untuk menyediakan juadah itu pada minggu hadapan.

“Tapi dalam sehari dua memang belum lagi lah, mungkin minggu depan,” katanya.

Jelasnya, dia sebelum ini sememangnya menjalankan perniagaan laksa, yang turut menjadi punca pendapatan membesarkan arwah anaknya itu.

“Laksa sarang ini juga merupakan makanan kegemaran Amir, Umi berniaga depan rumah sahaja. Umi besarkan Amir, bagikan kemudahan apa semua pun (guna) hasil jual laksa,” katanya yang menambah kini perniagaannya itu telah dijenamakan sebagai Mr. Laksa.

Terdahulu, siaran langsung selama 50 minit 11 saat itu ditonton lebih 10,000 pengguna. Norlida pada sesi itu turut mengambil kesempatan mengajak warga netizen menyedekahkan Al-Fatihah, bukan sahaja untuk anak syurganya itu, namun bagi mendoakan ketenangan buat dirinya dan keluarga. K! ONLINE

Leave a Reply