Penduduk Long Jeeh, Ulu Baram rayu saringan COVID-19 dilakukan segera
MIRI: Penduduk di Rumah Panjang Long Jeeh, Ulu Baram di sini merayu saringan COVID-19 dilakukan dengan segera di kawasan kampung mereka.
Setiausaha Rumah Panjang Long Jeeh, Johnny Selong berkata, perkara itu penting memandangkan terdapat dua kes positif COVID-19 melibatkan penduduk di kampung tersebut.
“Kami risau kerana sehingga hari ini belum ada saringan COVID-19 dilakukan. Terdapat dua kes virus itu direkodkan di Long Jeeh.
“Bukan itu sahaja, ada penduduk yang demam terpaksa dihantar ke Klinik Kesihatan Long Jeeh yang hanya ada seorang kakitangan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Johnny, ekoran itu, rumah panjang mereka telah dilaksanakan sekatan pergerakan selama 14 hari sehingga 9 Februari ini.
Jarak Long Jeeh dari Miri adalah kira-kira 300 kilometer dengan keadaan jalan balak dan memakan masa 10 jam perjalanan menggunakan laluan darat.
Setakat hari ini, lapan rumah panjang di Bahagian Miri melibatkan tiga daerah iaitu Beluru, Subis dan Telang Usan diarahkan menjalani perintah berkurung 14 hari akibat penularan COVID-19 dalam kalangan penduduk setempat.
Lapan rumah panjang dan beberapa ladang itu ialah Rh Long Jeeh, Rh Sabang Empungan, Rh Emah Umbing, Rh Apol Alam, Rh Chabu Makom, Rh Anthony Ladi, Rh Justine Madai, Rh Clarence.