Bos kasino mengelat untuk dapatkan suntikan vaksin

Seorang CEO syarikat kasino bernilai hampir USD2 bilion meletak jawatan selepas dia dan isterinya didakwa menipu kepada pihak berkuasa semata-mata mahukan vaksin Covid-19.

Rod Baker, 55, dari Great Canadian Gaming Corp (GCGC), dan isterinya Ekaterina, 32, sanggup terbang menaiki pesawat peribadi ke wilayah Yukon di utara Kanada untuk mendapatkan suntikan berkenaan.

Rantau itu yang kebanyakannya dihuni penduduk asli Kanada, mempunyai kadar vaksinasi paling tinggi di Kanada, menurut data.

Portal berita CBC melaporkan, pasangan itu berpura-pura menjadi pekerja motel yang baru mula bertugas di situ.

Baker dan isterinya terpaksa berjalan puluhan kilometer ke lapangan terbang selepas penduduk enggan menumpangkan mereka. (Gambar Facebook)

Masyarakat di kawasan terpencil Yukon diberi keutamaan menerima vaksin kerana lebih berisiko terkesan akibat Covid-19 disebabkan lokasinya yang jauh dari hospital dan kekurangan sumber untuk menangani penularan.

Menurut BBC, tembelang Baker dan isterinya dihidu penduduk tempatan selepas mereka meminta dibawa terus ke lapangan terbang sebaik disuntik vaksin berkenaan di komuniti Beaver Creek yang terletak di sempadan Alaska, AS.

Malah, Akhbar New Hamburg Independent melaporkan, pasangan suami isteri itu terpaksa berjalan puluhan kilometer dari Beaver Creek ke lapangan terbang berhampiran untuk pulang ke Vancouver selepas penduduk yang berang enggan menumpangkan mereka.

“Saya sangat marah dengan tindakan mereka yang begitu pentingkan diri sendiri.

“Kami tidak terfikir ada yang sanggup bertindak seperti ini,” kata menteri khidmat masyarakat Yukon John Streicker.

GCGC dalam kenyataan kepada BBC berkata, Baker bukan lagi sebahagian daripada syarikat itu.

Perbuatan pasangan itu turut dikecam ketua White River First Nation, Angela Demit di Facebooknya.

“Kami memandang serius perbuatan individu yang membahayakan golongan tua dan berisiko tinggi kami semata-mata mahu memotong barisan untuk tujuan yang begitu mementingkan diri sendiri.

“Pada saya, jelas mereka menganggap kami naif kerana dari golongan masyarakat asli” katanya kepada Washington Post.

Dia turut menyelar denda terhadap pasangan itu sebagai tidak bermakna memandangkan mereka kaya.

Pasangan itu juga didenda kerana gagal mengasingkan diri selama 14 hari selepas tiba di Yukon dari Vancouver.-FMT

Leave a Reply