Aktres India Mati Akibat Kemurungan
BEKAS peserta rancangan realiti Big Boss Kannada musim ketiga dan pelakon, Jayashree Ramaiah ditemui mati pada petang Isnin.
Mayatnya ditemui di sebuah rumah tua dan pusat pemulihan di Bengaluru, lapor India Today.
Menurut beberapa laporan, Jayashree mengalami kemurungan selama beberapa bulan dan berhasrat menamatkan hidupnya pada 22 Julai tahun lalu melalui akaun Facebook miliknya.
“Cukuplah. Selamat tinggal dunia dan kemurungan,” katanya.
Bagaimanapun, hantaran pelakon berusia 30 tahun itu dipadam selepas menarik perhatian peminatnya dan kemudian menulis kapsyen baharu,”Saya baik-baik saja dan selamat!! Sayangi anda semua.”
Kemudian pada 25 Julai, dalam sesi secara langsung di Facebook, Jayashree menyebut tentang kehidupannya yang disifatkan semakin teruk dan mengalami kemurungan.
“Saya tidak melakukan semua ini untuk meraih publisiti. Saya tidak mengharapkan bantuan kewangan. Saya hanya menunggu kematian kerana saya tidak dapat melawan kemurungan.
“Dari segi kewangan saya stabil tetapi saya tertekan. Saya mempunyai banyak masalah peribadi. Saya dah dikhianati sejak kecil dan tak mampu untuk melupakan semua itu,” ucapnya.
Jayashree dimasukkan ke rumah tua dan rumah pemulihan untuk mendapatkan rawatan penyakit kemurungan yang dialaminya.
Jayashree pernah membuat kemunculan melalui filem Uppu Huli Khara arahan Imran Sardhariya yang ditayangkan pada 2017 dan turut dibintangi Malasri.
Selain itu, beliau juga pernah menjayakan filem berjudul Black yang diarahkan oleh Mahendra.
Sumber: Times Of India
You must be logged in to post a comment.