Darurat Bukan Ubat ‘Krisis Tiga Serangkai’

[MUKADIMAH] Malaysia telah melalui satu lagi detik unik dalam sejarah susulan pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos depan demi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, rata-rata penganalisis turut melihatnya sebagai langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani drama politik negara yang bagaikan tidak berpenghujung.

Menurut Ketua Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong, langkah itu boleh meredakan tetapi bukan ubat yang dapat menyelesaikan kemelut politik.

Katanya, Parlimen harus dipulihkan dan dikembalikan fungsinya.

Ikuti kupasan Abdul Rahman dalam Wawancara Sinar Ahad yang dikendalikan Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa baru-baru ini.

SINAR AHAD: Bagaimana Datuk melihat situasi politik pada hari ini dan masa lalu. Apakah yang berlaku hari ini jauh lebih kompleks?

Abdul Rahman: Situasi politik sejak Mac 2020 setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga kini sentiasa tidak menentu, lebih-lebih lagi sekarang dengan perisytiharan darurat serta penggantungan demokrasi berparlimen.

Pada hemat saya, keadaan sekarang jauh lebih teruk dalam tempoh 20 tahun ini sejak memasuki abad ke-21.

Ini kerana kita berdepan dengan krisis tiga serangkai iaitu krisis kesihatan awam yang dicetuskan pandemik Covid-19, krisis ekonomi yang buruk dengan kadar pertumbuhan negatif; pelaburan asing beralih arah; kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang menjejaskan kehidupan keluarga dengan teruk; serta meningkatnya masalah kesihatan mental; dan krisis politik yang tidak berkesudahan, mencabar legitimasi kepimpinan dalam pemerintahan PN, yang menjurus ke arah krisis governan negara.

Krisis tiga serangkai ini kita tidak pernah kita alami. Krisis terdekat sebelum ini berlaku lebih dua dekad yang lalu, iaitu krisis kewangan 1997/98 yang merebak menjadi krisis ekonomi, serta krisis kepimpinan politik tetapi kedua-duanya menjadi stabil tidak lama kemudian. Masa itu tidak ada darurat kesihatan dan darurat politik dalam erti kata penggantungan Parlimen.

Dalam tiga situasi buruk ini, apakah pengisytiharan darurat merupakan pilihan terbaik?

Darurat boleh meredakan buat sementara percaturan dan krisis politik tetapi ia bukan ubatnya. Ia tidak seperti vaksin untuk Covid-19. Parlimen harus dipulihkan dan dikembalikan fungsinya kerana itulah sistem pemerintahan negara kita iaitu demokrasi berparlimen.

Malaysia dikenali di dunia sebagai negara yang berjaya membawa perubahan politik secara damai melalui Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, sedangkan di beberapa negara lain, perubahan berlaku melalui kekerasan.

Abdul Rahman (kanan) pada satu bengkel penyelidikan dan penerbitan UKM.
Bahkan di Amerika Syarikat juga berlaku keganasan pada 6 Januari lalu disebabkan Presiden Donald Trump yang berkuasa berdolak-dalik tidak mahu berundur walaupun dia sudah kalah dalam pilihan raya. Di negara kita tidak ada sebarang kekerasan atau keganasan seperti di Washington.

Pada hemat saya, krisis politik ini berterusan kerana ia tidak diselesaikan melalui saluran yang betul iaitu Parlimen walaupun kesempatan itu ada sebelum ini. Saya rasa kita harus hormati kewibawaan institusi Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen pula harus bertanggungjawab dan berintegriti kerana anda diberi mandat dan amanah oleh rakyat. Apa yang sangat diperlukan negara sekarang ialah negarawan dalam kalangan pemimpin, maka tunjukkan keupayaan memimpin sebagai negarawan yang dihormati dan dipercayai.

Kepercayaan kepada orang politik pada masa ini sangat rendah. Atasi defisit kepercayaan itu dengan bertindak selaku negarawan yang benar-benar meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik kepartian dan puak.

Saya harap pemimpin dan ahli politik yang berkuasa dapat menjiwai hakikat bahawa kuasa itu amanah yang harus ditunaikan sebaik mungkin sesuai dengan sumpah jawatan. Kuasa itu sementara, ia datang dan pergi selaras dengan prinsip demokrasi.

Apakah kemungkinan darurat akan disambung untuk satu tempoh tertentu lagi?

Sukar untuk meramal sama ada ia akan disambung atau tidak. Negara kita ada Perlembagaan, dan darurat itu diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong berasaskan peruntukan Perlembagaan.

Kesan darurat yang berpanjangan akan menjejaskan reputasi negara dan iklim pelaburan, membantutkan pemulihan ekonomi, lebih-lebih lagi sekarang sistem semak dan imbang ke atas kuasa pihak eksekutif sudah tiada.

Dalam proklamasi darurat sudah ditetapkan ia akan berakhir pada 1 Ogos 2021, ataupun lebih awal. Saya harap ia ditamatkan lebih awal dan Parlimen dipulihkan. Juga pandemik Covid-19 dapat dikawal melalui pelaksanaan PKP dan kerjasama rakyat, manakala program vaksinasi dapat dilakukan apabila vaksin diperoleh pada akhir Februari.

Krisis politik walaupun belum selesai tidak boleh dijadikan alasan untuk meneruskan darurat.

Adakah pelaksanaan darurat ini memberikan kelebihan kepada PN atau Muhyidin?

Penggunaan kuasa darurat ada pro dan kontra kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin. Ia memberikannya kestabilan buat sementara. Berdasarkan bilangan ahli Parlimen PN dan pembangkang, majoriti kerajaan PN semakin tipis.

Spekulasi mengatakan mungkin kerajaan PN sudah kehilangan majoriti dengan penarikan sokongan dua Ahli Parlimen UMNO. Justeru, ini boleh menggugat kerajaan PN, walaupun ia boleh terus memerintah kerana kuasa darurat. Kuasa darurat itu ibarat circuit breaker dalam percaturan politik yang tidak berkesudahan.

Apakah langkah terbaik untuk menyelesaikan konflik politik sekarang, sama ada mengadakan pilihan raya, membentuk sebuah kerajaan perpaduan atau PN terus memerintah di bawah proklamasi darurat sehingga PRU15?

Pada hemat saya, langkah pertama penyelesaian krisis politik kita sekarang terletak di Parlimen, iaitu dengan memulihkan sistem demokrasi berparlimen dan selesaikannya melalui undi percaya di Parlimen.

Sekiranya kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin sekarang memperoleh undi percaya, maka beliau memiliki wibawa undang-undang dan moral dan harus dihormati oleh semua pihak untuk terus mengemudi pimpinan negara.

Sekiranya ia gagal, maka harus ikut proses Perlembagaan dan ambil tindakan secara terhormat iaitu serahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan kerajaan yang baharu.

Terakhirnya ialah serahkan semula mandat itu untuk ditentukan oleh rakyat melalui PRU15. Tetapi saya rasa PRU15 tidak harus dilakukan secara tergesa-gesa memandangkan situasi negara belum tersedia dan pandemik belum terkendali.

Saya tidak yakin ahli politik yang bertanding dan para pengikut mereka akan dapat mematuhi SOP, begitu juga dalam kalangan pengundi. Mengadakan PRU dalam keadaan mereka tidak dapat mematuhi SOP dengan baik akan amat membebankan pihak KKM dan barisan hadapan untuk mengawalnya. Jangan jadi seperti kata pepatah, tiada beban batu digalas.

Saya tidak fikir darurat akan berterusan sehingga PRU15; kalau ini berlaku kredibiliti Malaysia di mata dunia akan sangat terjejas.

Jika PN dikatakan sudah hilang sokongan tetapi pada masa yang sama PH juga tidak mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan, apakah solusinya?

Memang boleh berlaku situasi Parlimen tergantung, dan ini tidak menyelesaikan masalah ketidakstabilan politik. Tetapi ruang dan peluang untuk mencari penyelesaian baharu itu terbuka apabila adanya undi percaya di Parlimen. Apakah penjajaran baharu politik akan berlaku? Itu satu kemungkinan yang tidak boleh dikesampingkan.

Abdul Rahman (kanan) pada satu bengkel penyelidikan dan penerbitan UKM.

Melihat dalam perspektif sejarah berjangka panjang, Malaysia kini berada pada detik sejarah politik transisi pendemokrasian. Walaupun wujud hambatan dan pengunduran tetapi itu bersifat sementara. Transisi politik ini memerlukan masa sebelum menjadi mantap.

Saya jangkakan PRU15 ini pun belum lagi dapat membawa kemantapan itu sepenuhnya. Namun, PRU15 akan membuka jalan mengharungi transisi ke arah politik yang lebih demokratik, mantap dan matang.

Dalam ilmu sosiologi dan sains politik, wujud satu konsep penting yang dikenali sebagai ‘semangat zaman’ atau ‘mood zaman’. Untuk senang difahami, kalau dalam dunia muzik, era 1960-an irama pop yeh yeh boleh dianggap sebagai pencerminan mood zaman, dan hari ini irama ini cuba dihidupkan semula. Ini cita rasa seni.

Tetapi dalam politik konsep ‘semangat atau mood zaman’ itu berbeza sedikit, dan lebih luas. Ia merupakan cita rasa, tuntutan dan pegangan yang semakin meluas untuk demokrasi, transparensi, akauntabiliti, keadilan sosial, integriti, penghapusan rasuah serta kewujudan kemakmuran yang dinikmati bersama tanpa mengira kaum.

Penjajaran baharu politik atau apa pun formulanya harus mengambil kira ‘semangat zaman’ ini tetapi harus mengelakkan daripada menggunakannya secara oportunis untuk membangkitkan populisme perkauman.

Satu ketika dahulu, ramai yang memperkatakan tentang sistem dua parti yang diamalkan di Amerika Syarikat dan Britain tetapi selepas PRU14, parti-parti politik di Malaysia semakin berpecah. Apa pandangan Datuk?

Terdapat beberapa pilihan. Pilihan sistem dua parti seperti di AS dan Britain itu acuan berdasarkan sejarah dan budaya politik mereka. Mungkin sesuai dengan budaya politik mereka.

Tetapi sejarah, masyarakat, budaya politik dan sistem politik Malaysia berlainan dengan AS. Dengan Britain juga perbezaan tertentu wujud walaupun sistem Malaysia berasaskan sistem Westminster kerana di Malaysia, kuasa darurat boleh digunakan dan sudah digunakan banyak kali.

Saya teringat suatu masa dahulu selepas pemulihan Parlimen pada awal 1971 susulan Peristiwa 13 Mei dan Darurat, Tan Sri Ghazali Shafei memanggil sistem ini sebagai “Demokrasi ala-Malaysia”. Saya rasa mahu tidak mahu, politik Malaysia akan terjurus ke arah politik gabungan, bukan politik dua parti, tetapi politik dwigabungan atau politik permuafakatan. Maksudnya, dua gabungan atau dua pakatan.

Politik gabungan ini harus sesuai dengan ciri-ciri kepelbagaian masyarakat negara kita, iaitu politik gabungan antara kaum yang inklusif dan demokratik. Politik gabungan ini tidak sama dengan sistem di AS atau Britain.

Pada PRU15, kita mungkin akan menyaksikan persaingan tiga gergasi politik iaitu Barisan Nasional, PN dan Pakatan Harapan. Apakah peluang mereka untuk mendapat sokongan majoriti?

Ya, kelihatannya wujud tiga gergasi politik yang kuat. Tetapi hakikatnya setiap gergasi itu kakinya bukan semestinya kaki yang kuat, kerana kadang-kadang terpaksa bertongkat, ataupun menggunakan kaki palsu. Maksudnya, majoriti masing-masing akan tipis; mereka tidak kuat apabila bersendirian. Mahu tidak mahu, mereka perlu mencari gabungan melalui penjajaran baharu untuk mempunyai daya tahan.

PROFIL

Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong

Profesor Emeritus dalam Sosiologi Pembangunan yang berkhidmat di IKMAS UKM sehingga bersara pada awal 2018.

Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM)

Felo serta Ketua Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional Akademi Profesor Malaysia

Nampak sangat darurat Abah darurat politik!

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker