Nampak sangat darurat Abah darurat politik!

Oleh RAYUSA

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Oktober lalu mengenai cadangan melaksanakan darurat dan Kabinetnya bersetuju, memang menggemparkan negara.

Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyetujui pelaksanaan darurat bagi menangani penularan Covid-19. Ia diputuskan dalam mesyuarat khas yang Muhyiddin pengerusikan di Putrajaya.

Alasan cadangan itu ialah ketidaktentuan berterusan dalam negara, serta ketika Muhyiddin berdepan desakan dari luar, dan dalam.



Untuk mengelakkan rakyat panik, perkataan darurat (cuba) digantikan dengan nama baharu yang lain, yang berkaitan dengan Covid-19.

Dengan nama lain, orang ramai (diharapkan) tidak perlu bimbang kerana ia bukan perintah berkurung, dan mereka masih boleh keluar rumah untuk membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang kerajaan tetapkan.

Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada hari yang sama.

Memetik sumber, portal rasmi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) menyebut Muhyiddin telah mendapatkan pandangan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia.



Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton’ pada Februari lalu sedar beliau berdepan risiko dijatuhkan.


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu, manakala pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bergandingan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Muhyiddin.

Walaupun Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sokongan Umno kepada Muhyiddin, tetapi penganalisis politik berpendapat Presiden Umno itu tidak mewakili pandangan semua ahli Parlimen daripada parti tersebut.

Walau bagaimanapun, cadangan darurat itu tinggal cadangan kerana ditolak oleh YdPA dua hari kemudian.



Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan pada masa sekarang untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian negara ini.

YdPA membuat keputusan tersebut setelah memperhalus permohonan itu dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu, serta melihat situasi yang sedang dihadapi negara. Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani Covid-19 dengan baik, dan berkesan.

Seri Paduka Baginda, tambah Ahmad Fadil, amat meyakini keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar, dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung wabak maut ini daripada terus merebak.

Walau bagaimanapun, menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk segera berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.



YdPA, tambah Fadil, berpendapat ahli-ahli Parlimen perlu menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Menurut Fadil lagi, Seri Paduka Baginda menegaskan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November nanti amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak pandemik sekarang, dan memulihkan ekonomi negara.

Titah baginda, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas, dan tanggungjawab mereka.

Pastilah kita semua amat bersyukur dengan keputusan YdPA itu. Tanpa mengira apa juga istilah/jenis darurat yang dicadangkan, rakyat boleh menarik nafas lega buat seketika seumpama beroleh sedikit penawar duka ketika Covid-19 masih mengancam.



Mungkin ada, khususnya penyokong Pakatan Harapan (PH) – berdasarkan keputusan Seri Paduka Baginda itu, yang melihat baginda menyenangi, dan berpuas hati dengan prestasi Kerajaan PN.

Dalam kenyataan media itu, YdPA yakin Muhyiddin dan anak buahnya mampu mentadbir negara sambil menangani Covid-19 (biarpun kian ramai rakyat yang tidak puas hati sekarang).

Jika Al-Sultan Abdullah menerima cadangan darurat, Muhyiddin tidak perlu membentangkan Belanjawan 2021 untuk undian ahli Parlimen pada 17 November.

Itu akan menggagalkan usaha untuk melakukan undi tidak percaya terhadap beliau.
Dilihat sekali lalu, ganjil/kelakar juga kerana dalam menolak cadangan Muhyiddin, YdPA masih mempercayai peranan Perdana Menteri, dan anak buah mentadbir negara.



Walau bagaimanapun, saya fikir itu hanya ‘kata-kata beralas’ oleh Seri Paduka Baginda. Al-Sultan Abdullah dapat melihat keadaan sebenar kerana baginda bukan bersendirian dalam menjalankan tugas.

Keputusan dibuat selepas bermusyawarah dengan Raja-Raja Melayu lain. Bermusyawarah satu amalan yang amat dituntut/digalakkan oleh Islam.
Jika berdasarkan jumlah kes semasa – turun naik tiga/empat angka, Kerajaan PN sebenarnya telah gagal menangani wabak Covid-19 dalam negara.

Dengan helah Muhyiddin cuba mengelakkan pembentangan Belanjawan 2021 gagal, kita tunggulah apa yang akan berlaku pada beliau, dan Kerajaan PN nanti.

Meskipun Muhyiddin, begitu juga ahli Kabinet, menjunjung kasih dan akur atas titah perintah YdPA, tetapi semua orang tahu bagaimana perasaan mereka!


Terdengar khabar Muhyiddin mahu berundur, tetapi membatalkan setelah dipujuk oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), dan Dato’ Seri Panglima Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri). Azmin dan Hamzah dianggap menjadi punca kecelaruan politik Malaysia hari ini!

Cadangan darurat Muhyiddin tidak masuk akal. Tujuan sebenar beliau boleh dibaca.
Usul (mengarut) tersebut hanya impian untuk menyelamatkan diri yang sedang tersepit. Hakikat bahawa cadangan darurat Covid-19 itu sebenarnya darurat politik secara tidak langsung diakui pemimpin/Ahli Kabinet PN sendiri!

Timbalan Menteri Tenaga dan Teknologi Hijau, Ali Biju memberitahu darurat yang dipohon itu tidak melibatkan pemerintahan tentera, perintah berkurung atau kawalan ekonomi, tetapi hanya menggantung Parlimen (prorog).

Justeru, benarlah tempelakan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu bahawa Muhyiddin yang sedang darurat, bukan negara.

Jelas Mohamad, Muhyiddin yang sebenarnya dalam keadaan darurat untuk mempertahan kedudukan sebagai Perdana Menteri.

Alasan untuk menangani Covid-19, tegas Mohamad, tidak logik kerana kita telah ada undang-undang yang boleh digunakan untuk membasmi wabak ini dengan berkesan, tanpa perlu mengisytiharkan darurat seluruh negara.

Sehubungan ini juga, tidak salah wakil rakyat PH yang lain turut membantah dengan menyifatkan darurat tidak perlu kerana undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani Covid-19.

Pemimpin PH mendakwa Muhyiddin cuba menggunakan darurat untuk prorog, dan mengelakkan Pilihan Raya Umum ke-15.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan keputusan Kabinet untuk melaksanakan darurat itu memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bimbang dengan laporan berita yang mengandaikan kerajaan mahu menjadikan Covid-19 sebagai alasan bagi menyekat proses Parlimen.

Tegas Anwar, pengisytiharan darurat hanya wajar dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara.

Namun demikian, apabila kerajaan itu sendiri yang mengancam keselamatan negara, maka mengesyorkan darurat itu langkah mundur yang akan memungkinkan kediktatoran (yang beria-ia dinafikan oleh Azmin).

Jelas Anwar, yang negara perlukan untuk menghadapi Covid-19 ialah ketelusan, kebertanggungjawaban, dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian.

Ketika kita, tambah beliau, masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak ialah dengan melemahkan demokrasi.

Komen kalangan warga Internet pada dinding akaun Facebook mereka juga masuk akal. Kata mereka, demonstrasi berlaku di Bangkok dan Jakarta, tetapi mengapa Malaysia yang perlu darurat.

Di laman Twitternya, mantan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menekankan, pengisytiharan darurat tidak perlu untuk membasmi Covid-19.

Ahli Parlimen Ipoh Barat (DAP), M Kulasegaran pula mengatakan di negara-negara yang mencatatkan kes yang jauh lebih tinggi, tidak pun mengisytiharkan darurat.

Menurut Ahli Parlimen Bakri (DAP), Yeo Bee Yin, penggunaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sudah memadai untuk mengawal Covid-19. Yeo juga mempersoal apakah Perdana Menteri menggunakan darurat untuk terus kekal berkuasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik (PKR), Najwan Halimi juga bertanya apakah pengisytiharan darurat untuk memastikan Kerajaan PN kekal berkuasa, dan mengelakkan Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Senator Liew Chin Tong (DAP) pula mengingatkan kerajaan agar tidak ‘menggunakan jalan pintas’ dalam demokrasi kerana ini akan memberi kesan negatif kepada negara.

Ahli Parlimen Tanjong Malim (PKR), Chang Lih Kang turut mengingatkan bahawa pengisytiharan darurat akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi.

Seorang pemimpin kanan Umno yang tidak mahu namanya disiarkan, percaya tindakan itu boleh memakan diri.

Menurutnya, ia mungkin mendorong mereka yang bersikap neutral menjauhi Kerajaan PN, dan menjadikan Muhyiddin kelihatan lemah.

Tentunya, tambah beliau, rakyat akan melihat ini sebagai ‘menggantung demokrasi’, bukan menggantung Parlimen. Ini akan menimbulkan lebih banyak kemarahan kepada Muhyiddin, dan penyokong beliau.

Pemimpin Umno itu juga mendakwa ramai menteri tidak mengetahui perkara tersebut sehinggalah pada pagi 23 Oktober lalu.

Idea untuk mengisytiharkan darurat dikemuka oleh sekelompok kecil individu, dan beberapa menteri menyatakan kebimbangan (mengenai akibatnya).

Malah, meskipun ketegangan dengan sekutunya dalam PN, Umno dilihat melalui fasa gencatan politik kini, tahap sokongan ahli Parlimen Umno hanya akan benar-benar teruji pada undian di Dewan Rakyat itu.


Tan Sri Shahrir Samad pula berpendapat, Muhyiddin hanya patut melibatkan kuasa YdPA untuk menangani Covid-19 selepas berunding dengan Ketua Pembangkang.

Menurut veteran Umno itu, pada asasnya langkah yang perlu diambil oleh Kerajaan PN mesti paling bijaksana berlandaskan Perlembagaan, dan undang-undang.

Justeru, jelas mantan Ahli Parlimen Johor Bahru itu, tiada salahnya Perdana Menteri berunding dengan Ketua Pembangkang untuk mencapai kebijaksanaan berkenaan.

Tambah Shahrir, rundingan itu termasuklah mencapai persetujuan melaksanakan gencatan politik, dan meluluskan Belanjawan 2021, serta mengatasi kesan negatif Covid-19.

Jika gagal, menurut Shahrir, barulah Perdana Menteri dan kerajaan melibatkan kuasa YdPA.

Dikhabarkan sehingga jam 5 petang 23 Oktober itu, perkataan darurat menjadi topik trending di Twitter Malaysia. Ungkapan Muhyiddin Out yang bermaksud penolakan terhadap Perdana Menteri, juga menjadi trending di Twitter. MD

Muhyiddin yang dalam darurat, bukan negara – Mat Sabu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker