MPK benar penjaja, peniaga pasar pagi kembali beroperasi mulai esok

 

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) membenarkan aktiviti perniagaan penjaja dan peniaga pasar pagi kembali beroperasi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, bermula esok.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, berkata antara lain semua peniaga dan penjaja terbabit wajib menyediakan termometer sendiri untuk menyukat suhu pelanggan.



Beliau menjelaskan, ketetapan itu bertujuan melatih peniaga dan penjaja mengamalkan disiplin kendiri, di samping membantu mengawal penularan Covid-19.

“Penjaja juga dikehendaki menyediakan kod QR untuk diimbas atau buku rekod kehadiran pelanggan mereka

“Bagi pasar pagi, MPK akan menyediakan kod QR untuk setiap peniaga di tapak masing-masing.

“MPK amat mengutamakan keselamatan peniaga dan pelanggan. Justeru, penyediaan kawalan kendiri perlu diperkasakan terhadap semua peniaga meliputi penjaja dan peniaga pasar,” katanya dalam satu kenyataan.



Selain itu, beliau berkata, peniaga diwajibkan memasang tirai tembus pandang (saiz tirai bergantung pada kesesuaian saiz gerai) di kiri dan kanan gerai masing-masing bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Dengan adanya pemasangan tirai itu, peniaga pasar pagi dibenarkan berniaga setiap hari bagi pasar pagi harian atau setiap minggu bagi pasar pagi seminggu sekali, dan tiada lagi penggiliran.

“Peniaga juga dikehendaki memantau pelanggan yang hadir supaya sentiasa mematuhi penjarakan fizikal satu meter. Selain itu, peniaga sendiri harus mengambil barang yang dijual untuk diberikan kepada pelanggan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Fadzli berkata, peniaga dibenarkan mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan kawalan pematuhan SOP di laluan utama keluar masuk pasar terbabit seperti menggunakan perkhidmatan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).



“Sebarang inisiatif wajib dimaklumkan kepada pihak MPK. Sekiranya kawalan di laluan dilakukan sendiri, maka kawalan kendiri setiap gerai dibenar untuk dikecualikan.

“Bagaimanapun, peniaga masih wajib mempamerkan kod QR untuk diimbas oleh pelanggan di setiap gerai,” katanya.

Beliau berkata, MPK akan melakukan pemantauan SOP di pasar terbabit, setiap hari.

“MPK akan menutup mana-mana pasar dan perniagaan peniaga atau penjaja yang gagal mematuhi syarat SOP ditetapkan.



“Tanggungjawab pematuhan SOP kawalan kendiri adalah tertakluk kepada peniaga sendiri jika mereka ingin meneruskan perniagaan di pasar,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker