Terkini: Sekurang-kurang 45 maut gempa bumi di Sulawesi

 

MAMUJU: Pasukan penyelamat terus bertungkus lumus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus, hari ini, berikutan gempa bumi kuat yang melanda Kepulauan Sulawesi pada awal pagi semalam.

Sekurang-kurang 45 orang maut dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.2 magnitud itu yang mencetuskan panik dalam kalangan penduduk kepulauan berkenaan selepas pernah mengharungi tragedi tsunami akibat gempa bumi sehingga mengorbankan ribuan mangsa pada 2018.



Ratusan mangsa dilaporkan mengalami kecederaan, manakala ramai lagi dikhuatiri terperangkap bawah runtuhan bangunan dalam insiden kali ini.

Puluhan mayat telah dikeluarkan dari timbunan runtuhan bangunan di bandar Mamuju yang terletak di wilayah Sulawesi Barat, manakala mangsa lain terkorban di bahagian selatan kawasan terbabit.

“Data terkini yang kami peroleh ialah 45 maut,” kata Arianto daripada agensi penyelamat di Mamuju.

Angka korban itu meningkat berbanding 42 mangsa pada petang semalam.



Setakat ini, pihak berkuasa belum memberikan bilangan penduduk yang berkemungkinan terperangkap bawah runtuhan bangunan, termasuk sebuah hospital.

Sekurang-kurang sebuah hotel turut runtuh sebahagian bangunannya, manakala pejabat Gabenor rantau itu mengalami kerosakan teruk.

Pihak berkuasa memaklumkan, lapangan terbang di bandar itu juga mengalami kerosakan.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 15,000 penduduk kini berada di pusat perlindungan sementara dan hampir 190 mangsa yang mengalami kecederaan parah pula sedang dirawat.



Agensi meteorologi memberi amaran bahawa kawasan terbabit boleh dilanda gempa susulan yang kuat, sekali gus menasihati penduduk supaya menjauhi kawasan pantai kerana dikhuatiri tercetus tsunami. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker