Dakwaan layanan ‘2 darjat’ tidak berasas – PDT Kuala Pilah

Dakwaan layanan ‘2 darjat’ tidak berasas – PDT Kuala Pilah

Dakwaan layanan '2 darjat' tidak berasas - PDT Kuala Pilah
Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin. – Foto ihsan laman sesawang Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah

KUALA PILAH: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah (PDTKP) menjelaskan tindakan pihaknya merampas sebuah ekskavator yang dikesan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah tanpa kebenaran di kawasan rizab sungai di Kampung Tering, Johol di sini, adalah mengikut lunas undang-undang.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin, berkata Pejabat Daerah dan Tanah adalah agensi bertanggungjawab melindungi tanah kerajaan daripada dicerobohi, mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828).

Justeru, beliau menekankan, PDTKP sentiasa melaksanakan tanggungjawab itu dengan tegas dan berintegriti.

“Pada 13 Februari lalu sekitar jam 3.15 petang, Unit Penguatkuasaan PDTKP telah menerima aduan lisan berkenaan aktiviti pencerobohan tanah kerajaan di Kampung Tering.

“Susulan itu, anggota penguat kuasa PDTKP pergi ke tempat berkenaan dan mendapati ada sebuah ekskavator berwarna kuning sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tanah di atas tanah kerajaan (rizab sungai).


DISYORKAN UNTUK ANDA :


“Hasil siasatan mendapati kerja-kerja pembersihan itu dijalankan tanpa sebarang dokumen kebenaran yang sah sama ada daripada Pihak Berkuasa Negeri atau Pentadbir Tanah Daerah Kuala Pilah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar, semalam, berhubung isu pencerobohan tanah yang mana seorang individu dikenali sebagai Mohamad Khairul Jamain dipetik menyatakan kekecewaannya dengan layanan didakwa ‘dua darjat’.

Nawal berkata, pemandu jentera itu yang juga pemilik ekskavator terbabit kemudian diarah menghentikan kerja di lokasi, manakala kunci jentera berkenaan diserahkan kepada penguat kuasa PDTKP.

Katanya, jentera itu turut dipindah dan ditempatkan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Pilah.

Beliau berkata, perbuatan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah di atas tanah kerajaan tanpa sebarang kebenaran yang sah, adalah suatu kesalahan bawah Perenggan 425(1)(b) KTN.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Malah, beliau menjelaskan tindakan merampas jentera itu dijalankan secara teratur mengikut Perenggan 426A(1)(b) KTN, dan perampasan sedemikian boleh dilakukan tanpa waran.

Jika sabit kesalahan pula, katanya, boleh dihukum denda tidak lebih RM500 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau turut mengulas dakwaan Mohamad Khairul bahawa kes itu mendapat layanan tidak adil berbanding kes pencerobohan tanah dilaporkan di Raub, Pahang, dan Dengkil, Selangor.

Nawal menegaskan dakwaan itu tidak berasas kerana tatacara tindakan penguatkuasaan dan siasatan telah dijalankan secara teratur mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan bawah KTN.

“Malah, PDTKP sudahpun mengambil tindakan awal bagi mengelak berlaku kerosakan lebih besar terhadap tanah kerajaan itu.

“Pentadbiran ini mengambil maklum akan keperluan saudara Mohamad Khairul Jamain yang hendak membina laluan bagi tujuan mengakses ke tanah yang dibeli.

“Bagaimanapun untuk tujuan itu, permohonan perlulah dibuat terlebih dahulu kepada Pentadbir Tanah sebelum kerja-kerja pembersihan tanah membabitkan tanah kerajaan boleh dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kebenaran itu penting bagi memastikan kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan adalah menepati piawaian teknikal oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Lebih-lebih lagi tanah kerajaan itu berada dalam rizab Sungai Jelai dan termasuk dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dijangka siap pada 2029.

“Kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan tanpa kawalan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada penduduk kampung yang sudah sekian tahun terpaksa menghadapi kesan banjir,” katanya.

Justeru, beliau berkata, PDTKP berharap semua pihak khususnya yang bukan anak tempatan daerah ini, mendapat khidmat nasihat terlebih dahulu agar isu tempatan lebih difahami sebelum memulakan sebarang kerja-kerja pembersihan tanah.

Dakwaan layanan ‘2 darjat’ tidak berasas – PDT Kuala Pilah

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker