Polis maut dilanggar ketika kejar suspek pecah rumah

Share


SUNGAI PETANI: Seorang anggota polis maut selepas dilanggar sebuah motosikal semasa mengejar seorang suspek kes pecah rumah di Padang Temusu, kira-kira 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, Mahadir Elis, 38, dari Balai Polis Sungai Petani yang cedera parah di bahagian kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, katanya, arwah bersama anggota lain bergerak ke Kampung Kepala Bukit dan Kampung Sungai Pasir pada 3.45 pagi, serta berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 32 dan 50 tahun yang merupakan suspek kes pecah rumah.

“Susulan tangkapan itu, arwah dan anggota (rakan setugas) membuat serbuan ke atas rumah seorang lagi suspek yang masih bebas di Padang Temusu.

“Suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dan arwah kemudiannya mengejar suspek ke arah jalan utama kira-kira 500m sebelum dilanggar sebuah motosikal Yamaha Y15 sewaktu melintasi jalan,” katanya dalam kenyataan.

“Arwah yang sudah 12 tahun berkhidmat sebagai anggota polis dan bertugas di daerah Kuala Muda sejak tiga tahun lepas, meninggalkan seorang isteri, Azlila Talib, 39, dan tiga anak berusia lima, lapan dan 17 tahun.

“Jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Rashid, Sungai Dua di Butterworth.”

Mengenai tangkapan tiga suspek samun, Adzli berkata, ketiga-tiga suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau berkaitan samun, dadah, curi kenderaan dan pecah rumah.

“Ujian saringan air kencing juga mengesahkan ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah rumah.” Bernama

Leave a Reply