Polis cedera dilanggar pencuri kabel

Share

SUNGAI SIPUT – Seorang anggota polis cedera akibat dilanggar motosikal ditunggang lelaki yang disyaki terlibat mencuri kabel di pencawang telekomunikasi di Ladang Changkat Salak di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, anggota berpangkat koperal berkenaan cedera di tangan dan kaki selepas dilanggar suspek berusia 38 tahun yang cuba meloloskan diri.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput selepas motosikal jenis Honda Wave itu terbabas ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, anggota itu dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput susulan kecederaan yang dialaminya.

“Hasil pemeriksaan menemui 98 kabel yang telah dipotong dalam bakul motosikal selain peralatan yang digunakan untuk memotong dan pisau kerambit.


“Modus operandi mendapati suspek mencuri kabel sekitar daerah ini untuk dileburkan sebelum dijual di kedai barang lusuh daerah berlainan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sungai Siput di sini hari ini.

Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes curi kabel dan pecah pencawang yang membabitkan kerugian dianggarkan RM200,000.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau dalam kes jenayah dan dadah serta ujian urin mendapati suspek positif methamphetamine dan morfin.

“Suspek dipercayai bergerak sendirian namun, kita akan menyiasat sekiranya ada rakan jenayah terlibat,” katanya.


Tambah Mohd Khaizam, suspek direman selama lima hari sehingga Rabu ini untuk disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 379 bagi kesalahan mencuri serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 iaitu memiliki senjata bahaya,” katanya. Sinar

Geng curi kabel elektrik TNB diberkas

Leave a Reply