Geng curi kabel elektrik TNB diberkas

KUALA LANGAT – Polis menahan 15 lelaki termasuk empat pendatang tanpa izin yang disyaki geng mencuri kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar daerah ini dalam serbuan pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tangkapan yang dibuat di sebuah stor barangan lusuh haram di Telok Panglima Garang kira-kira jam 3.30 petang itu hasil risikan pihaknya susulan empat laporan diterima berhubung kes kecurian kabel elektrik sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, sebanyak 4.5 tan kabel elektrik milik TNB dirampas terdiri daripada 14 gelung kabel, 11 batang kabel telah dipotong-potong, sembilan guni berisi kepingan tembaga bercampur aluminium disyaki diproses daripada kabel dan dua gelung dram kabel syarikat utiliti berkenaan yang belum digunakan.

“Turut dirampas adalah tiga mesin pemotong kabel, satu alat penimbang, tiga lori dan sebuah kren mudah alih. Kumpulan yang aktif sejak awal tahun ini dipercayai menjadikan stor barangan lusuh haram itu sebagai tempat mereka meleraikan kabel elektrik bagi mendapatkan kepingan tembaga dan aluminium untuk dijual.

“Hasil maklumat daripada TNB, kami percaya kegiatan mencuri kabel elektrik oleh kumpulan berkenaan menyebabkan syarikat itu kerugian kira-kira RM150,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azizan berkata, siasatan awal pihaknya mengesyaki ada dalam kalangan suspek tempatan itu merupakan atau pernah menjadi subkontraktor TNB susulan penemuan beberapa dokumen dan vest kontraktor syarikat utiliti berkenaan dalam sebuah lori yang dirampas.

“Berdasarkan barangan itu, kami sedang menyiasat kaitan suspek dengan TNB. Malah, teknik mematikan arus elektrik yang besar sebelum mereka mencuri kabel juga menyebabkan kami mengesyaki pasti ada suspek yang pernah ada pengalaman berkhidmat dengan syarikat tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, tiga lori dan sebuah kren mudah alih yang dirampas itu bukan kenderaan curi namun dipercayai disewa oleh kumpulan terbabit untuk menjalankan kegiatan mereka.

Katanya, kesemua suspek berumur lingkungan 17 hingga 59 tahun itu direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 55(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-barang Terpakai 1946. – Bernama

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker