Dah kena HIV pun, belum insaf!

Share

Jempol: Sudah dijangkiti HIV namun masih tidak insaf dengan meneruskan kegiatan mengedar dadah kepada penagih di kawasan Felda.

Dua suspek yang positif menghidap HIV itu adalah antara empat pengedar dadah diberkas polis dalam serbuan ‘Op Tapis’ sekitar daerah ini bermula 15 September hingga 23 September lalu.

Kesemua mereka memiliki antara enam hingga 15 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tangkapan pertama membabitkan pengedar dadah berusia 48 tahun pada jam 9.15 malam, 15 September lalu.

Katanya, suspek ditahan di sebuah rumah di FELDA Palong Tiga di sini. Hasil pemeriksaan ketika serbuan menemui satu paket plastik berisi heroin seberat 15.47 gram di dalam beg sandang dipakai suspek.

“Polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 45 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Pasoh Dua di sini, 19 September lalu. Dia ditahan ketika sedang menunggu pelanggan membeli bekalan dadah.

“Suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri namun gagal. Polis merampas 13 paket plastik berisi heroin seberat 26.93 gram dan 15 paket syabu seberat 14.96 gram,” katanya tadi.

Mohd Hafiz, seorang lagi pengedar dadah berusia 38 tahun turut diberkas di FELDA Palong Tujuh di sini, pada Ahad lalu diikuti seorang lagi pengedar dadah di Kampung Bukit Kelulut di sini.

Mohd Hafiz berkata kesemua suspek tidak serik mengulangi kegiatan mereka biarpun pernah menjalani hukuman penjara selain ada antara mereka turut dikenakan tindakan Langkah – Langkah Pencegahan Khas ( LPPK ).

Katanya, siasatan polis mendapati kesemua suspek mendapat bekalan dadah dari sempadan negeri Melaka dan Johor sebelum dadah dijual kepada penagih sekitar FELDA Palong, Batu Kikir dan FELDA Pasoh-HM

Leave a Reply