5 isu Belanjawan 2021 akan dibahas ahli Parlimen BN

Pemuda Umno menggariskan 5 isu utama dibangkitkan rakyat mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibahaskan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Ketua Pemudanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu utama ialah pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerka (KWSP) sehingga RM10,000 yang tidak perlu bersasar kerana ia bersifat sukarela.

“Implikasi hanya sekitar RM40 bilion iaitu hanya 4% daripada keseluruhan dana semasa KWSP sekitar RM940 bilion,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Katanya, ahli Parlimen BN juga akan menyentuh mengenai lanjutan tempoh moratorium secara automatik, dibangkitkan ramai rakyat yang sedang sengsara akibat Covid-19.

“Selain itu, fokus saksama kepada golongan M40. Menilai kembali bantuan agar golongan M40 tidak dikesampingkan kerana kesan Covid-19 turut memberi impak besar kepada golongan itu,” katanya.

Beliau berkata, isu mahasiswa juga akan dibahas membabitkan kira-kira 1.3 juta pelajar universiti awam dan swasta yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya, ini termasuk isu kewangan melibatkan rumah sewa dan pembelajaran dalam talian.

“Cadangan awal Pemuda Umno agar diberikan bantuan RM50 sebulan untuk 12 bulan dalam bentuk e-wallet untuk dimanfaatkan bagi pembelian data telefon bimbit.

“Juga cadangan dikembalikan baucar buku, kad siswa khas dan juga cadangan mengembalikan semula program MyBrain15 sebagai salah 1 inisiatif pemulihan dan penjanaan semula ekonomi negara pasca Covid-19,” katanya.

Asyraf berkata, isu ke-5 ialah mengkaji semula kesesuaian peruntukan yang terlalu besar berjumlah RM85.5 juta untuk mengembalikan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ketika ini.

Terdahulu, Umno mendesak kerajaan menjelaskan peruntukan sebesar itu kepada Jasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sambil menyifatkan ia jumlah yang berlebihan.

“Kalau ada justifikasi munasabah, ia OK untuk peruntukan besar. Mungkinkah kerajaan yang lemah memerlukan ‘pembesar suara’ yang lebih besar,” kata Naib Presiden Umno, Khalid Nordin kepada FMT.

Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat Jumaat lalu berjumlah RM322.5 bilion iaitu RM25.5 bilion lebih banyak daripada Belanjawan 2020 berjumlah RM297 bilion. FMT

Belanjawan 2021 apa yang anda dapat?

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker