Transformasi bas mini jadi surau


SEBAIK azan Maghrib berkumandang dari Masjid Seberang Takir, Kuala Terengganu, lelaki berusia 49 tahun itu terus mengemas trak makanan miliknya yang terletak di tapak perniagaan trak makanan Jambatan Angkat Terengganu.

Langkah itu bagi membolehkan Hazim Fadzli Abd. Karim menutup seketika bisnes trak makanan yang diusahakannya untuk dia menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim.

Usai menutup perniagaan daging bakar yang diusahakan, dia berjalan sejauh 50 meter menuju ke sebuah kawasan lapang yang menempatkan sebuah bas mini berwarna kelabu.

Keberadaan Hazim Fadzli di situ bukanlah untuk menaiki bas berkenaan bagi menuju ke masjid atau surau berdekatan, sebaliknya dia ingin menunaikan solat di dalam kenderaan empat roda itu.



Bas mini bernombor 39 itu bukanlah kenderaan biasa yang sering digunakan untuk mengangkut penumpang, sebaliknya ia telah diubah suai sepenuhnya menjadi sebuah surau bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat.

“Kewujudan surau bergerak yang dibuat daripada bas mini ini sedikit sebanyak memudahkan para peniaga dan pengunjung di sini menunaikan solat fardu terutamanya ketika waktu Asar, Maghrib dan Isyak.

“Sebelum kewujudan surau ini, saya terpaksa berulang-alik ke Masjid Seberang Takir yang terletak sejauh 3 kilometer sebanyak tiga kali sehari. Surau terdekat pun tidak ada,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.


BEBERAPA orang lelaki melaksanakan solat secara berjemaah di dalam surau bergerak yang terletak di tapak perniagaan trak makanan Jambatan Angkat Terengganu.



Idea pembinaan surau bergerak itu diilhamkan salah seorang peniaga trak makanan di Jambatan Angkat Terengganu pada Mac tahun lalu.

Selepas diubah suai, ruang dalam surau bergerak itu mampu menampung seramai 10 jemaah pada satu-satu masa termasuk seorang imam. Selain itu, bahagian luar bas boleh memuatkan seramai 10 orang lagi jemaah.

Dinamakan surau bergerak, bas mini berkenaan masih berfungsi dan boleh bergerak ke sana sini, namun buat masa ini boleh ditemui di dua kawasan perniagaan trak makanan di Kuala Terengganu.

“Walaupun surau ini dibina dalam sebuah bas mini, namun ia sangat selesa kerana dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau konvensional. Antara kemudahan yang ada ialah sejadah, pendingin hawa, al-Quran, tempat berwuduk, ruang imam, lampu dan kalendar takwim,” jelas lelaki dari Kuala Terengganu itu.



Surau bergerak berkenaan diubah suai daripada bas mini model Mercedes 309d Motorhome yang pernah menjadi pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di negara ini.

Bas mini pernah menghiasi jalan-jalan di sekitar Lembah Klang sekitar tahun 1990-an sebelum kerajaan menamatkan perkhidmatannya pada 1 Julai 1998.

Kerja-kerja pengubahsuaian bas mini itu daripada kenderaan penumpang kepada surau bergerak dilakukan secara bergotong-royong oleh para peniaga trak makanan di Jambatan Angkat Terengganu.

Proses ubah suai mengambil masa selama tiga bulan dan mula beroperasi sepenuhnya pada Jun tahun lalu.

Jumlah peniaga trak makanan di Jambatan Angkat Terengganu dianggarkan sehingga 50 orang yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Trak Makanan dan Perkhidmatan Negeri Terengganu (T-TRAK).

Penyelaras T-TRAK, Yusufhadi Alhafidz Saba’i, 39, memaklumkan, pada mulanya bas mini berkenaan dibeli untuk diubah suai menjadi sebuah trak makanan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dapur.

Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac tahun lalu telah mendorong dia dan rakan-rakan peniaga lain mengubah hasrat tersebut, sebaliknya memilih menjadikannya surau bergerak.

“Ketika pelaksanaan PKP, kami semua tidak dapat berniaga. Jadi, daripada bas mini ini dibiarkan begitu saja, timbul idea mengubah suainya menjadi surau bergerak.

“Kebetulan, kemudahan surau ini sangat diperlukan oleh para peniaga dan pengunjung di sini untuk menunaikan solat,” terangnya.

Bercerita lanjut, Yusufhadi memberitahu, bas mini itu dibeli daripada anak salah seorang pemandu atau pemilik bas mini di ibu kota sekitar awal 1990-an.

Kata Yusufhadi, anak pemandu tersebut sebelum ini telah mengubah suai bas mini itu menjadi bas sekolah untuk mengambil dan menghantar pelajar.

“Bagaimanapun, disebabkan PKP para pelajar tidak dapat ke sekolah. Ini sekali gus menjejaskan pendapatannya sebagai pemandu bas sekolah.

“Disebabkan itu, dia bertindak menjual bas mini ini dengan harga serendah RM10,000. Jadi, kami sepakat membeli bas mini ini dalam usaha membantunya yang berada dalam kesempitan,” jelasnya.

PENGUBAHSUAIAN surau bergerak ini dilakukan secara gotong-royong oleh para peniaga Persatuan Pengusaha Trak Makanan dan Perkhidmatan Negeri Terengganu.
Menariknya, kos membeli dan mengubah suai bas mini dianggarkan berjumlah RM35,000 itu diperoleh daripada derma yang dihulurkan oleh para pengunjung dan para peniaga di tapak perniagaan trak makanan Jambatan Angkat Terenggganu.

Dinding dalaman bas mini yang sebelum ini dipenuhi kepingan besi juga diubah suai kepada kayu palet. Ini bagi mewujudkan suasana lebih tenang dan santai di dalam bas.

Bahagian luar bas pula ditambah dengan bumbung boleh pasang bagi membolehkan lebih jemaah menunaikan solat berjemaah. Surau bergerak itu turut dilengkapi dengan tangki air khas sebesar 18 liter bagi memudahkan para jemaah mengambil wuduk.

Menurut Yusufhadi, surau bergerak tersebut mula beroperasi pada pukul 4 petang selepas tapak perniagaan trak makanan di Jambatan Angkat Terengganu beroperasi.

Terangnya, secara keseluruhan surau berkenaan boleh menampung jumlah jemaah seramai lebih 300 orang pada setiap hari.

“Surau ini beroperasi di Jambatan Angkat Terengganu pada setiap Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Hari-hari lain, ia beroperasi di tapak Foodtruck Panoramik Kuala Terengganu.

“Pihak kami juga berhasrat untuk menyediakan khidmat surau bergerak ini di majlis-majlis tertentu kepada mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Surau bergerak itu semakin dikenali selain menjadi salah satu daya tarikan pelancong di Terengganu.

Seorang pengunjung dari ibu kota, Mohd. Daniel Fikri Mohd. Aris, 35, sangat teruja merasai pengalaman solat di dalam surau bergerak itu.

“Ketika mencari surau untuk solat, saya sangat terkejut apabila mendapati ia sebuah bas mini. Banyak kenangan saya dengan bas ini terutamanya ketika zaman kanak-kanak dahulu,” ujarnya. K Online

Ubah suai motosikal cara Ju Korox. Hebat!!

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker