Kota Tinggi lumpuh, wakil rakyat minta penduduk tak jadikan banjir pesta air


Pusat bandar Kota Tinggi lumpuh ditenggelami banjir hingga hampir dua meter, sejak Sabtu lalu, dengan hampir semua jalan masuk ke bandar ini ditutup.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique, menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadikannya sebagai pesta air.

Halimah yang juga Menteri Perpaduan Negara berkata, tinjauan yang dilakukannya di sekitar pusat bandar itu mendapati penduduk dilihat berpusu-pusu ke pusat bandar berkenaan bagi melihat limpahan air banjir yang menenggelamkan hampir keseluruhan bandar itu, seolah-olah suatu pesta air.

“Nasihat saya, banjir di Kota Tinggi ini bukan air biasa. Arusnya sangat deras apatah lagi malam, jadi saya nasihatkan penduduk jangan jadikan ia sebagai pesta.

“Namun tinjauan saya mendapati ramai berkumpul melihat banjir naik di pusat bandar termasuk menaiki kereta dan motosikal.

“Keselamatan nyawa harus dijaga. Semalam contohnya, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail, sudah mengarahkan semua penduduk yang terjejas banjir berpindah namun masih ada yang berdegil tidak berpindah sehingga paras air semakin tinggi hari ini,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, hari ini.

Selepas 15 tahun dilanda banjir besar, pusat bandar ini sekali lagi ditenggelami banjir besar apabila air Sungai Johor melimpah sejak Sabtu lalu.

Antara yang tenggelam akibat banjir kali ini adalah Surau Umar Ibnu Al Khattab, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Tinggi, Pejabat Parol Kota Tinggi selain stesen bas di pusat bandar ini.

Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi hari ini juga merekodkan kenaikan mendadak kepada 2,661 mangsa daripada 665 keluarga di 24 PPS petang tadi berbanding seramai 2,029 daripada 514 keluarga, tengah hari tadi.

Sementara itu, Halimah berkata, bekalan makanan dan keperluan penduduk di daerah ini masih mencukupi walaupun pusat bandar daerah itu lumpuh dengan hampir semua pusat perniagaan di situ ditutup sejak Sabtu lalu.

Katanya, terdapat beberapa lagi pasar raya besar di daerah ini yang berada di kawasan tidak terjejas banjir, justeru bekalan makanan dan keperluan masih mencukupi buat penduduk.

“Pusat bandar Kota Tinggi memang lumpuh dengan hampir semua laluan memasukinya sudah ditutup, namun masih ada laluan pintas dari Johor Bahru ke daerah ini yang tidak ditenggelami banjir.

“Mungkin ada kawasan kampung tertentu yang terputus terus laluan perhubungan dengan penduduk tidak boleh keluar mendapatkan bekalan namun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sudah membuat persiapan bagi menyalurkan bantuan di kawasan itu,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker