Agong, Permaisuri turun hulur bantuan kepada mangsa banjir


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pihak-pihak berkuasa berkaitan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menghulurkan segera bantuan yang diperlukan kepada mangsa-mangsa banjir.

Al-Sultan Abdullah hari ini menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa bencana banjir di beberapa negeri, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor, berikutan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda mengingatkan semua pihak berkuasa berkaitan supaya bersama-sama memikul tanggungjawab meringankan kesusahan dan beban mangsa-mangsa banjir tersebut.

Seri Paduka Baginda turut menitahkan supaya aspek norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan wabak Covid-19 menjadi keutamaan di semua Pusat Pemindaha Sementara (PPS) dan diamalkan oleh semua petugas dan mangsa banjir.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar mangsa-mangsa bencana banjir ini tabah mengharungi dugaan dan musibah yang telah menimpa mereka.

“Manakala rakyat, khususnya di kawasan rendah, pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara dengan segera jika diarahkan oleh pihak berkuasa,” kata Ahmad Fadil dalam satu kenyataan.

Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mengadakan melawat mengejut kepada mangsamangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang iaitu di SMK Maran, Surau Kampung Jara, SK Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS tersebut dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada NADMA, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus-lumus membantu rakyat setiap kali banjir.

“Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda,” kata Ahmad Fadil.

Menurut Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara lima negeri ketika ini sedang berhadapan dengan bencana banjir.

Pahang merupakan negeri paling teruk terjejas dengan 13,218 orang telah dipindahkan ke PPS diikuti Johor (5,484), Perak (812), Selangor (184) dan kelantan (78).

Sejumlah 19,776 orang penduduk daripada 5,300 keluarga yang terjejas di seluruh negara telah dipindahkan ke 259 PPS. -SM

Leave a Reply