Batal HSR: Kerajaan PN, PH sama saja, komitmen berubah-ubah, kata Khaled



Sebaran :


Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin membidas Putrajaya berikutan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Beliau berkata, pembatalan projek itu memaparkan pendirian kerajaan yang berbolak-balik.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memaparkan komitmen dan kesungguhan yang sentiasa berubah-ubah dan saling bercanggahan, sama seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan.



Bekas menteri besar Johor itu berkata, buktinya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jun tahun lalu mengumumkan strategi Malaysia untuk meneruskan projek mega seperti projek HSR dalam usaha merancakkan ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19.

Beliau berkata, pendirian itu terus diutarakan dalam ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed baru-baru ini mengulas situasi ekonomi yang terkesan akibat COVID-19 memaksa model pelaksanaan projek HSR dikaji semula.



“Akibat sikap tidak konsisten ini, projek HSR yang mendatangkan pelbagai manfaat ekonomi menjadi mangsa,” katanya.

Pada 1 Jan, Kementerian Pengangkutan Singapura mengesahkan projek HSR dibatalkan.

Dalam kenyataannya, kementerian itu juga memaklumkan Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajipan berdasarkan perjanjian dua hala yang dimeterai sebelum itu.



Dalam pada itu, Khaled berkata Malaysia kini hilang peluang keemasan untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua bandar metropolis yang merupakan antara enjin ekonomi utama Asia Tenggara.

Katanya, kerajaan PN kurang memahami analisis kos-faedah jangka masa panjang projek HSR.

“Analisis simulasi penyelidik Institute of Developing Economies dari Jepun mendedahkan kesan ekonomi HSR untuk Malaysia dalam gabungan dasar terbaik adalah USD1.59 bilion (RM6.38 bilion) setiap tahun menjelang 2030, hampir 2.5 kali ganda kesan ekonomi terhadap Singapura.



“Mengapakah projek ‘game-changer’ yang sepatutnya memartabatkan ekonomi negara dipolitikkan dan cuba diubah-ubah sehingga akhirnya dibatalkan?

“Adakah projek infrastruktur lain yang mendatangkan limpahan faedah kepada rakyat akan menanggung nasib yang serupa dalam tangan kerajaan PN?” tanya beliau. FMT


Sebaran :


Leave a Reply