Apa kata Najib selepas HSR dibatalkan?

Pada 1 Jan 2021, kita dihidangkan dengan berita perjanjian dua hala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura atau HSR ditamatkan. Bukan berita yang menarik untuk menyambut tahun baru.

Dan kita diberitahu kerana Malaysia mengizinkan penamatan perjanjian itu, ia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang dikeluarkan republik itu dalam memenuhi kewajipannya berdasarkan perjanjian dua hala HSR. Lagi berita muram di awal tahun baru.

Lantas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed menegaskan Malaysia akan menghormati semua terma perjanjian. Maknanya, Malaysia akan membayar pampasan kepada Singapura. Ini sekadar menyatakan apa yang sememangnya jelas. Malaysia memang tidak mempunyai pilihan, selain bayar pampasan, cuma jumlah pampasan tidak dinyatakan setakat ini.

Sebelum ini, The Edge melaporkan penamatan perjanjian itu boleh menyebabkan Malaysia menanggung kos kira-kira RM300 juta. Ada pihak, termasuk bekas perdana menteri, Najib Razak percaya pampasan yang akan dituntut Singapura “lebih tinggi”. Ada logiknya jika berdasarkan kerja yang sudah dilakukan Singapura sehingga kini.



Ada netizen membuat catatan: “Malulah Malaysia, majulah Singapura” merujuk judul lagu kebangsaan republik itu.

Satu posting di media sosial yang menarik perhatian saya berbunyi: “Kita yang nak buat (projek itu), kita yang tangguh, kita batal, kita kena bayar pampasan.”

Apapun, sejak berita pembatalan perjanjian itu tersebar (kerajaan Singapura yang mengumumkannya) ramai penganalisis ekonomi, politik serta ahli politik (termasuk Najib) membuat ulasan dan memberi pandangan mengapa pembatalan terjadi dan aspek untung rugi (terutamanya rugi) pembatalan perjanjian.

Rasanya anda sudah membaca ulasan dan komentar itu semua. Oleh itu, saya tidak akan mengulanginya. Yang ingin diketengahkan di sini ialah satu daripada pelbagai aspek diutarakan Najib.



Aspek yang dimaksudkan ialah “manfaat” pembatalan itu untuk kerajaan, menurut pandangan Najib. Jelas dan nyata beliau menyindir atau peril apabila berkata: “Tetapi satu manfaat bagi kerajaan Malaysia ialah kerajaan boleh membuat segala keputusan perolehan untuk memberi kontrak kepada mana-mana pihak dengan sendiri berbanding model JV (usaha sama) dahulu, di mana segala proses perolehan dan pemilihan vendor perlu dipertimbangkan, dilaksana dan dipantau secara bersama oleh kedua-dua negara”.

Maknanya, berdasarkan kata-kata Najib itu, mengikut cara atau pendekatan asal secara JV, Malaysia tidak boleh bertindak sendiri kerana semua keputusan dan tindakan mesti dilakukan bersama. Ertinya, kerajaan Malaysia terikat, tidak boleh bertindak sesuka hati kerana dipantau Singapura.

Begitu juga Singapura – tidak boleh bertindak sesuka hati kerana dipantau Malaysia. Kesimpulannya, Malaysia dan Singapura saling memantau.

Dengan pembatalan perjanjian, apa yang dikatakan Najib boleh ditafsir sebagai Malaysia kini bebas bertindak sendiri – beri kontrak dan pilih vendor kepada sesiapa yang kerajaan mahu tanpa dipantau, dihalang sesiapa.



Lalu Pemuda UMNO tampil menuntut “kerajaan menjelaskan kebenaran berita yang tular di media massa bahawa projek ini (HSR dengan Singapura) bakal digantikan dengan melantik sebuah syarikat kroni swasta secara rundingan terus di jajaran HSR yang tamat di Johor Bahru saja, tetapi dengan kos hampir sama”.

Najib menerusi Facebooknya juga berkata, beliau diberitahu bahawa pemimpin tertinggi kerajaan Perikatan Nasional bersetuju melancarkan projek domestik kereta api laju HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru bagi menggantikan HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan.

Beliau mendakwa kerajaan sudah memilih teknologi yang akan digunakan dan menamakan “satu syarikat kroni swasta sebagai kontraktor utama dan syarikat operasi tanpa sebarang tender”.

Dan dakwa Najib lagi, “kerajaan PN juga telah merancang membayar pampasan tahunan kepada syarikat itu kerana HSR tidak akan menguntungkan dalam jangka panjang disebabkan jumlah penumpang berkurangan dan pendapatan tambang rendah tanpa penglibatan Singapura “.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan “syarikat kroni” yang dimaksudkan. Pun begitu, dakwaan beliau sesuatu yang serius yang mesti dijawab kerajaan Muhyiddin Yassin dengan menampilkan bukti dan asas. Penafian saja tidak memadai.

Adakah kata-kata Najib itu benar? Adakah itu akan terjadi atau sememangnya menjadi amalan kerajaan? Adakah kronisme berleluasa? Baik ketika kerajaan ini mahupun kerajaan masa lalu?

Tetapi, Najib seperti kita tahu, menjadi Ahli Parlimen pada usia 23 tahun. Beliau dilantik timbalan menteri di bawah kerajaan BN pada 1978. Beliau memegang jawatan menteri besar Pahang dari 1982 hingga 1986. Sejak itu, beliau dilantik menteri kerajaan pusat pelbagai portfolio sehingga menjadi timbalan perdana menteri pada 2004. Dan dari 2009 hingga 2018, Najib ialah perdana menteri.

Berdasarkan pengalaman itu, Najib tentunya tahu selok-belok dan segala amalan kerajaan. Ikut logik begitulah. Wallahualam.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Projek HSR sah batal, Malaysia terpaksa bayar pampasan

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker