Sanding Sendirian Tanpa Si Dia
Jakarta: Pilu hati pengantin wanita apabila terpaksa meneruskan majlis resepsi perkahwinan bersendirian tanpa suami tersayang yang diserang penyakit asma sebelum meninggal dunia.
Portal Tribunnews melaporkan, pengantin itu, Momon Tanjung kelihatan sedih ketika meraikan tetamu yang berkunjung ke majlis perkahwinannya.
Kisah mengenai Momon tular selepas kakaknya melalui sosial media berkongsi kisah sedih itu pada Oktober lalu.
Erde Dayat Tanjung, 32, turut memaparkan gambar pengantin wanita meraikan tetamu di pelamin tanpa suami di sisi.
Malah, wanita itu kelihatan melayani tetamu seorang diri dengan hiasan pengantin yang cukup cantik.
Erde berkata, kesihatan suami adiknya, Suharman pada awalnya baik ketika akad nikah pada 25 September lalu.
Bagaimanapun, sehari selepas itu Suharman diserang penyakit asma.
“Keadaan pengantin lelaki masih baik, ketika membuat persiapan resepsi (dijadualkan pada 27 September), dia berasa badannya keletihan.
“Ketika resepsi, keadaannya tidak boleh duduk, keluarga sarankan berehat dan tidak naik ke pelamin.
“Pengantin perempuan terpaksa duduk sendiri di pelamin melayani tetamu,” kata Erde.
Menurutnya, ketika majlis berlangsung, keadaan Suharman semakin teruk sebelum dibawa ke hospital.
“Suharman kritikal selama dua hari dan keadaannya makin teruk dan disahkan meninggal dunia pada 30 September,” katanya-HM
Sumber: Detik