Lelaki bersenjata bunuh 18 tetamu majlis kahwin

KANO: Lelaki bersenjata membunuh 18 tetamu dalam majlis perkahwinan di wilayah Kaduna, utara Nigeria, dalam keganasan terbaru di wilayah itu, kata pegawai tempatan pada Isnin.

Suspek bersenjata yang menaiki motosikal menyerbu kampung Kukum-Daji di daerah Kaura pada Ahad dan melepaskan tembakan ke arah tetamu, katanya.

“Suspek membunuh 18 orang dan mencederakan 30 yang lain di majlis perkahwinan itu, kebanyakan mangsa adalah lelaki muda,” kata Bege Katuka Ayuba, ketua pentadbiran daerah itu kepada AFP.

“Lima belas mangsa mati di lokasi kejadian manakala 3 lagi di hospital,” katanya.

Tidak diketahui siapa mendalangi serangan itu namun daerah berkenaan menjadi pusat keganasan antara pengembala muslim Fulani dan petani etnik Kristian.

Jurucakap polis negeri mengesahkan serangan itu namun enggan mengulas lanjut.

“Ada laporan kehilangan nyawa dalam serangan itu tetapi kami belum mempunyai angka korban sebenar,” kata Mohammed Jalinge kepada AFP.

Kawasan Kaduna Selatan yang didiami penduduk beragama Kristian dilanda perselisihan berpanjangan antara petani dan pengembala mengenai hak air.

Berlaku peningkatan kes pembunuhan antara kedua-dua kumpulan sejak kebelakangan ini yang mendorong pihak berkuasa negeri mengisytiharkan gencatan senjata namun tidak berjaya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker