NFC hanya sensasi politik

PUTRAJAYA: Nama National Feedlot Coorperation (NFC) yang menjadi isu hangat sebelum ini kembali diperkatakan ketika negara sedang digemparkan dengan isu kartel daging sejuk beku.

Isu itu dibangkitkan kerana dikaitkan dengan kesukaran sebuah syarikat milik Melayu bumiputera untuk terlibat dalam pasaran tempatan.

Menurut Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menyelesaikan isu NFC itu, sebenarnya banyak perkara dan fakta yang tidak betul digembar-gemburkan.

Bekas penyelaras Parlimen Jasin itu berkata, banyak isu yang disensasikan secara berlebihan kepada mereka yang terlibat.

Beliau memberitahu, ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), isu NFC diselesaikan secara adil serta saksama demi kepentingan merealisasikan agenda keselamatan makanan negara.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah bersikap emosional atau berdendam tetapi berpegang pada prinsip keluhuran bagi menyelesaikan semua permasalahan secara ‘menang-menang’ kepada semua pihak yang terlibat.

“Setelah berpuas hati dengan dapatan sebenar dan memahami segala bentuk kekangan yang dihadapi NFC sebelum ini maka satu formula ‘amicable solution’ dipersetujui secara konsensus oleh semua pihak yang terbabit,” katanya dalam kenyataan semalam.

https://mykmu.net/2018/02/15/nfc-muhyiddin-cuci-tangan/

Tambah Khairuddin, penyelesaian kes NFC dibuat melalui meja bulat bersama syarikat itu, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Pejabat Peguam Negara pada waktu itu.

Katanya, kaedah penyelesaian yang diambil oleh Perdana Menteri amat telus dan pragmatik.

Apa yang penting, kata beliau, Dr. Mahathir mahu mendapatkan semula apa saja pembayaran yang harus selesaikan oleh syarikat NFC kepada kerajaan.

“Pendirian untuk ‘recover’ hutang bagi pihak kerajaan lebih diutamakan dari mengambil pendekatan berdendam secara melulu.

“Yang penting formula penyelesaian permasalahan ini dapat menjanakan semula pendapatan kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Khariuddin berkata, berhubung isu kartel daging sejuk beku ketika ini, pihak berkuasa perlu membuat siasatan secara menyeluruh, profesional dan teliti kerana mencetuskan kebimbangan orang ramai terutama umat Islam.

Katanya, ini termasuk menyiasat dakwaan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tentang penglibatan ahli politik yang dipercayai turut bekerjasama dengan pihak kartel itu dengan cara menghalang tertubuhnya syarikat Melayu bumiputera seperti NFC.

Khairuddin berkata, beliau dan semua pihak yang terlibat dalam penyelesaian isu NFC itu amat memahami permasalahan sebenar syarikat empunya orang Melayu berkenaan dan sentiasa berpegang kepada asas kebenaran tanpa mengira sesiapa.

Katanya, segala tindakan yang diambil juga berlandaskan fakta dan bukan sewenang-wenangnya menganiayai mana-mana pihak.

Justeru, dalam isu kartel daging sejuk beku itu, kesemua agensi penguat kuasa berkaitan mesti menjalankan satu siasatan secara adil dan saksama bagi merungkai kebenarannya.

“Tindakan tegas harus diambil ke atas semua petualang yang terbabit dengan kartel daging import haram ini tanpa sebarang bentuk kompromi,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli paling lantang menentang NFC sehingga pernah didakwa melakukan pendedahan empat akaun bank berkaitan NFC dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 2019 membebaskan Rafizi terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Keputusan itu dibuat selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Februari 2019.-

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker