Kisah cinta tiga penjuru dan politik


oleh Mohsin Abdullah

Teringat artikel yang saya tulis untuk The Edge Malaysia pada Mac 2019. Ketika UMNO dan PAS mengumumkan terjalinnya secara rasmi hubungan kerjasama antara mereka.

Keputusan merasmikan atau “formalized” hubungan itu dibuat pada satu mesyuarat amat penting antara “delegasi” UMNO dan PAS. Mereka diketuai timbalan presiden masing-masing. Mohamad Hasan bagi UMNO dan Tuan Ibrahim Tuan Man untuk PAS.

“Kami sudah kahwin,” kata Mohamad Hasan kepada media sambil tersenyum lebar, sebaik sahaja mesyuarat selesai. Disambut gelak ketawa hadirin.

Mengulas lanjut tema romantik, Mohamad berkata “Kami bertukar cincin di Sungai Kandis, bertunang di Seri Setia, dan buat keputusan untuk berkahwin. Ini upacara rasminya. Kami sekarang duduk di pelamin”. Bersanding.

Sungai Kandis yang dimaksudkan beliau ialah pilihan raya kecil kawasan itu pada Ogos 2018 yang dilihat mulanya kerjasama UMNO-PAS selepas PRU-14. Di Sungai Kandis, PAS memberi laluan kepada UMNO bertanding tetapi calon Umno tewas kepada Pakatan Harapan.

Seri Setia merujuk kepada pilihan raya kecil yang diadakan sebulan kemudian. UMNO pula beri laluan kepada PAS. Namun calon PAS juga tewas kepada PH.

Pada artikel yang saya tulis ketika itu, saya bertanya sama ada wajar istilah “kahwin” digunakan untuk menyimpulkan kerjasama UMNO-PAS yang terjalin, walaupun berseloroh.
`
Ini kerana bila bercakap mengenai perkahwinan, persoalan yang timbul ialah siapa pengantin lelaki dan siapa pengantin perempuan. Siapa suami siapa isteri? Tentu ini bukan perkahwinan sesama jenis.

Mengikut “amalan” konservatif atau “tradisi” yang saya kira dipegang PAS dan mungkin juga UMNO, ialah si isteri, walaupun setia dan menyokong si suami, akan sentiasa berada satu tapak di belakang. Suami ialah ketua keluarga lantas tahu apa yang terbaik. “The husband knows best”.

Mungkin ada yang menganggap persoalan yang saya timbulkan ini remeh. Namun penting diperjelaskan kerana istilah perkahwinan digunakan walaupun “sekadar” seloroh dan kiasan, membabitkan dua parti politik Melayu terbesar.

Penting kerana ia akan menentukan parti mana pendahulu, parti mana pengikut. “Who lead who follow”. Tidak mungkin, pada pada hemat saya, kedua-dua parti mengambil pendirian “moden”, bahawa suami dan isteri setaraf dan setanding kerana kedua-dua parti khususnya PAS konservatif.

Persoalan tidak terjawab jelas. Apa pun itu tidak menghalang termeterainya Piagam Muafakat Nasional tidak lama kemudian. Tidak dinafikan penubuhan MN bertujuan merangkul undi Melayu untuk menang pilihan raya umum ke-15.

Persoalan yang timbul ketika itu ialah adakah ini satu hubungan atau “perkahwinan” jangka panjang? “Tidak,” kata pemerhati dan penulis politik veteran Mohd Sayuti Omar yang pendapatnya saya minta ketika itu.

Kata Sayuti: “Ini hanya sementara. Ia dijalin berdasarkan balas dendam dan marah – satu gabungan emosi bukan idealisme perjuangan bersama”.

Kini 15 bulan setelah Piagam MN dimeterai ada laporan beberapa penganalis politik menyifatkan keadaan MN sekarang bagai retak menanti belah.

Sekali lagi saya mencari Sayuti untuk pandangannya. “Ada benarnya apabila diperhatikan ‘hanky panky’ politik kedua-dua parti ini kebelakangan ini. Ada desakan dalam UMNO yang mahu PAS tidak bersama PPBM menjadi punca kepada tidak ketidakstabilan MN,” kata beliau.

UMNO, kata Sayuti, mendesak PAS agar “mencintainya sahaja, tidak yang lain” dan pada sudut lain PPBM pula “mahukan PAS bersama mereka sahaja dan melupakan UMNO”.

Agak jelas PAS kini menunjukkan lebih “kemesraan” terhadap PPBM berbanding UMNO. Bolehkah ini dilihat bagai permainan “cinta tiga segi”? Adakah PPBM “orang ketiga” ditengah-tengah perkahwinan Umno-PAS?

Sesungguhnya dalam perkahwinan ada cabaran dan ujian. Bagi Sayuti, jika hal ini tidak diurus dengan baik ada kemungkinan MN yang hanya diikat dengan “tali rapuh bernama Piagam boleh relai dan terbelah”.

Hisomudin Bakar, pengarah eksekutif Ilham Centre, bersetuju MN retak menanti belah. MN, kata beliau, “boleh dikatakan tidak lagi berfungsi, tiada lagi mesyuarat antara PAS dan UMNO, dan isu MB Perak tempoh hari adalah bukti MN gagal, tiada perbincangan”.

Malah bagi beliau, kenyataan orang kuat UMNO, Tajuddin Rahman, meminta PAS memilih antara MN atau PN adalah isyarat penting kerana Tajuddin, antara “engineer” yang menggerakkan MN. sudah mula pertikai dan bagi kata dua kepada PAS.

Menurut Hisomudin, apabila PAS diminta membuat pilihan sedemikian lahir dua kumpulan dalaman yang kini bertentangan sesama sendiri.

“Kini dalam PAS ada dua jalur yang berbeza. Satu jalur dikenali sebagai Geng Publika lebih cenderung untuk mengukuhkan hubungan PAS dengan PPBM dengan alasan Muhyiddin Yassin lebih mesra PAS, banyak membantu, dan saling memerlukan.”

“Geng Ustaz pula jalur kedua, lebih mementingkan MN dikekalkan hanya UMNO dan PAS”. Ertinya tanpa PPBM.

Saya menghubungi sumber dalaman UMNO yang rapat dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, menanyakan adakah benar MN diambang perpecahan? Beliau tidak menjawab secara langsung.

Sebaliknya menghantar kepada saya catatan Twitter Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, yang berbunyi: “PAS masih kekal bersama MN, khabar angin yang disebarkan melalui media sosial kononnya PAS membatalkan kerjasama dengan UMNO dan Piagam MN adalah palsu dan fitnah”.

Beliau menambah: “Ini disahkan sendiri oleh sahabat saya Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, dan ahli jawatakuasa PAS Pusat merangkap Pengarah Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki, yang berkunjung ke pejabat saya petang tadi”. Mengiringi catatan itu gambar mereka bertiga.

Perlu ditegaskan yang dibicarakan disini ialah laporan mengenai pandangan beberapa penganalis politik bahawa MN dalam keadaan retak menanti belah dan bukannya khabar angin yang disebar melalui media sosial yang diperkatakan Asyraf.

Apa pun bagi Sayuti, komen Kamaruzaman dan Zuhdi itu “tidak konkrit” kerana kata putus PAS terletak di atas “lidah” Majlis Syura Ulama dan “tentu lah mereka (Kamaruzaman dan Zuhdi) akan menafikan di hadapan Asyraf kalau pun ada desas-desus”.

Hisomuddin juga menjelaskan yang membut keputusan ialah kepimpinan tertinggi parti. Gambar yang disertakan menurut beliau tidak membawa apa-apa makna hubungan sebenar MN.

“Ia pertemuan biasa bukan mesyuarat MN. Kadangkala ahli poltik sebegini cuba menyembunyikan kemelut dalaman dengan gambar seperti ini,” kata Hisomudin.

Yang wajar dilakukan, kata beliau, ialah menyatakan secara jelas melalui keputusan pimpinan tertinggi PAS dan UMNO sama ada komited atau pun sudah terlerai bagi merungkai kebuntuan orang awam berkaitan MN.

Sayuti melihat kemuncak kepada sejauh mana hubungan kekal atau tidak akan ditentukan saat pembahagian kerusi antara PAS, UMNO, dan PPBM untuk ditandingi pada PRU-15.

“Kalau pembahagian kerusi dapat dipersetujui bersama, MN yang kini dilihat retak tidak akan sampai terbelah,” kata beliau.

Pun begitu pengagihan kerusi – siapa tanding di mana – buka sesuatu yang mudah. Ada kerusi yang diduduki PPBM sekarang asalnya milik UMNO. Ertinya kerusi itu dimenangi pada PRU-14 atas tiket UMNO tetapi yang menang berpaling tadah dan menyertai PPBM. Jelas UMNO mahu semua kerusi itu semula.

Di samping itu, UMNO dan juga PAS mahu kekal di kerusi yang mereka tandingi sebelum ini – apa yang dilihat sebagai kerusi tradisional yang dulu UMNO dan PAS bertempur. Kini jika mereka dalam regu yang sama, siapa yang kekal bertanding di situ dan siapa yang mesti beralah?

Silap langkah membawa padah. Susah, sulit, dan rumit. Tetapi sejak bila politik sesuatu yang mudah, tidak rumit, dan tidak sulit?

Berbalik istilah “kahwin” yang digunakan timbalan presiden UMNO tahun lalu ketika menjelaskan status hubungan kerjasama partinya dengan PAS. Seorang pemerhati politik mengingatkan saya ada orang suka kahwin cerai.

Saya mencelah dan berkata ada orang tidak bercerai tetapi kahwin dua. Malah tiga. FMT

Patutlah PAS Sayang Lebih Pada Bersatu Berbanding UMNO…

Leave a Reply