Kes pertama strain COVID-19 di Lubnan

Seorang wanita mendukung seorang lelaki kurang upaya dan kedua-duanya memakai pelitup muka di kawasan Sabra di Beirut, ketika Lubnan mengesan kes pertama strain COVID-19. -Gambar Agensi

BEIRUT, 11 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Menteri Kesihatan sementara, Hamad Hassan mengumumkan kes pertama strain COVID-19 di Lubnan.

Hamad berkata, mangsa berkenaan pulang dari London ke Beirut pada 21 Disember lalu.

Serentak itu, penumpang yang menaiki penerbangan sama dengan mangsa disarankan untuk menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.

Hamad berkata, kementeriannya akan terus mengikuti kes itu serta kontak rapat mangsa.

Beliau berkata, mangsa berkenaan adalah warganegara Lubnan yang tinggal di Tripoli.

Tambahnya, mangsa kini berada di rumah bersama ibunya dan dalam keadaan stabil.

Perkembangan ini sekali gus menimbulkan kekhuatiran penduduk Lubnan, manakala Ahli Parlimen Georges Adwan menggesa penerbangan dari Britain segera dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, Hamad berkata, gesaan itu bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

Pada Khamis, Lubnan mencatatkan 2,708 kes baharu COVID-19, dengan 20 kematian baharu.

Penambahan kes itu menjadikan 165,933 jangkitan COVID-19 di negara itu setakat ini. -Agensi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker