Jangan biarkan murtad



Sebaran :

Lagi banyak kes murtad, negara lagi terdedah kepada ancaman musuh Islam

DI antara persoalan agama yang berlegar di dalam kepala ramai orang mungkin persoalan kenapa orang Islam tidak dibenarkan keluar agama Islam sedangkan menganut Islam bukan satu paksaan? Manakala agama lain pula membenarkan penganutnya untuk berpindah dari satu agama ke agama lain. Adakah agama lain lebih toleransi dari Islam dari sudut itu?

Beberapa noktah, jika kita fahami maka kita akan faham kenapa Islam menganggap keluar agama Islam itu satu jenayah berat. Dan kita juga akan faham kenapa agama lain boleh berpindah-pindah dari satu agama ke agama lain (kecuali Islam) tanpa sebarang ketegangan.

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah. Agama ini tertakluk kepada perintah dan larangan mutlak dari Allah berdasarkan kepada neracaNya dan bukannya neraca manusia. Apa yang betul dan apa yang salah, adalah hak Allah secara mutlak tanpa ada ruang untuk campur tangan manusia.



Keluar dari agama Islam bermaksud murtad. Di dalam al-Quran dan hadis, ia adalah jenayah berat yang akan dikenakan hukuman yang berat. Perhatikan beberapa nas yang saya kongsikan di sini sebagai contoh bagaimana Allah meletakkan kedudukan murtad.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.” (Al-Nahl: 106)



Di dalam hadis Rasulullah ﷺ bersabda:

من بدل دينه فاقتلوه

“Sesiapa yang menukar agamanya (dari agama Islam kepada agama lain) maka bunuhlah ia.” (Hadis riwayat Bukhari)



Menganut agama Islam bermaksud memberikan intima’ (penggabungan) dan wala’ (kesetiaan) kepada Islam dan umatnya. Dari titik tolak intima’ dan wala’ inilah, umat Islam berhubung di antara satu dengan yang lain. Mereka berkasih saling sesama mereka. Mereka saling membantu antara muslimin. Mereka menjaga kebajikan saudara muslim yang lain. Mereka menjaga maruah orang Islam keseluruhannya. Mereka mempertahankan umat Islam dari sebarang ancaman dan apa juga anasir jahat yang cuba merosakkannya.

Mereka saling menjaga kerahsiaan sesama mereka dari bocor ke pendengaran musuh umat Islam. Mereka menyelesaikan masalah sesama mereka dengan diri mereka sendiri. Dan begitulah seterusnya, banyak lagi implikasi lain hasil dari intima’ dan wala’ tersebut.

Keluar dari agama Islam atau murtad tidak akan berlaku kecuali setelah orang yang murtad tersebut merungkaikan intima’ dan wala’nya kepada umat Islam. Cuba perhatikan, ke manakah penggabungan dan kesetiaan seorang yang murtad itu diberikan? Mereka akan bergabung dan memindahkan kesetiaan mereka kepada kumpulan bukan Islam pastinya.



Golongan murtad di zaman Abu Bakar RA bergabung dengan kumpulan nabi palsu memerangi Madinah. Di dalam kumpulan mereka, bergabung bersama mereka tentera Rom atau Farsi. Kesetiaan golongan murtad berpindah kepada Rum atau Farsi dan akhirnya membawa kepada peperangan terhadap kerajaan Islam. Itulah kesan murtad.

Dalam kes di zaman moden ini, kita juga menyaksikan perkara yang sama. Murtadnya Natrah pada 1950an dahulu menyaksikan campurtangan pegawai-pegawai kerajaan Belanda dan British. Mereka mempertahankan kemurtadan Natrah sedangkan dia ketika itu hanyalah seorang wanita muda yang sebelumnya membesar sebagai muslimah dalam keluarga Melayu. Itulah kesan murtad.

Perkara yang sama berlaku kepada Aishah Bukhari. Dia memilih untuk murtad dengan berkahwin dengan seorang Kristian. Kemudian memilih untuk menentang keluarganya dengan bantuan seorang peguam Kristian Cina. Bagaimana dia boleh hilang kesetiaan kepada seorang ayah yang beragama Islam? Itulah kesan murtad.



Bertindak segera tangani ‘virus’ murtad

Hartina Kamarudin, seorang lagi wanita Melayu yang murtad. Perkara yang sama juga berlaku. Bercinta dengan lelaki Hindu. Membiarkan lelaki Hindu dan rakan-rakannya membelasah ayah kandungnya sendiri. Kemudian bersama-sama lelaki Hindu tersebut membuat aduan polis terhadap ayah kandungnya sendiri lalu menyebabkan ayahnya merengkuk di dalam lokap. Mana perginya wala’ dan intima’? Mana kesetiaan dan belas terhadap ayah kandung sendiri? Itulah kesan murtad.

Kalau kita perhatikan pula kes permohonan murtad oleh empat individu di Sarawak (Mohd Syafiq Abdullah, Nur Muzdhalifah Abdullah, Salina Abdullah dan Syarifah Nooraffyzza Wan Hose), kita akan mendapati pihak liberal di Malaysia melalui badan-badan Kristian menggunakan kes ini untuk menuntut pengurangan bidang kuasa mahkamah syariah di dalam isu murtad.

Tiga di atas asalnya adalah bukan Islam, kemudian menganut Islam untuk berkahwin. Kemudian ingin kembali ke agama asal. Manakala yang keempat adalah seorang yang dilahirkan sebagai muslimah dan kemudiannya ingin keluar dari Islam.



Tindakan mereka bukan setakat keluar Islam tetapi memberi ruang kepada golongan liberal untuk menjatuhkan sistem perundangan Islam dan mereka menyokong tindakan golongan liberal tersebut dan bergantung nasib kepadanya. Hilang sudah rasa sayang kepada institusi Islam. Itulah kesan murtad.

Permohonan-permohonan murtad ini digunakan oleh golongan liberal sebaiknya untuk mengubah status negara. Lihatlah senarai tuntutan kumpulan Comango, di antaranya adalah isu berkaitan hak murtad dan bidang kuasa mahkamah syariah.

Keseluruhan tuntutan kumpulan Comango adalah untuk merubah status negara dari negara Islam kepada sebuah negara sekular dan kumpulan manusia murtad ini membantu ke arah itu. Kes-kes murtad ini juga melahirkan gereja Melayu yang kemudiannya menjadi pusat untuk mengkristiankan orang Melayu Islam. Murtad memberi ruang kepada gerakan Comango. Murtad juga memberi ruang kepada penubuhan gereja Melayu. Itulah kesan murtad.



Tidak benar apa yang disebut orang ramai sebagai kes murtad adalah kes individu. Apa yang kita perhatikan adalah murtad akan membawa kepada hilangnya kesetiaan kepada Islam dan umat Islam, kemudian bergabung dengan musuh Islam dan seterusnya menjadi sebahagian anasir untuk menjatuhkan Islam.

Rasulullah ﷺ mengingatkan kita tentang hakikat murtad. Di dalam hadis Rasulullah saw menyifatkan orang murtad sebagai:

التارك لدينه المفارق للجماعة

“Orang yang meninggalkan agamanya dan memisahkan diri dari jemaah Islam (kumpulan orang Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tepatlah apa yang disebut oleh Rasulullah ﷺ itu. Orang yang murtad akan keluar dari ikatannya dalam masyarakat Islam. Hilang wala’ dan intima’nya. Kemudian dia akan bergabung dengan kumpulan bukan Islam dan memberikan kesetiaan di situ. Murtad akan membawa kepada apa yang disebut oleh pepatah Melayu sebagai tindakan ‘tikam belakang’ oleh orang yang asalnya beragama Islam.

Manusia yang paling faham keadaan dalaman umat Islam adalah orang Islam sendiri. Apabila ada di kalangan umat Islam yang memberikan intima’ dan wala’ kepada bukan Islam hasil dari tindakan murtad, akan terdedahlah segala rahsia dalaman umat Islam.

Kalau tanpa murtad pun, ada orang Islam yang mendedahkan rahsia umat Islam kepada musuh Islam, apatah lagi jika berlaku gejala murtad. Sudah tentu bertan-tan maklumat dalaman umat Islam akan bocor. Pembocoran maklumat dalaman umat Islam adalah satu pengkhianatan.

Murtad adalah jenayah besar. Ulamak khilaf kepada hukumannya samada hudud atau ta’zir, tetapi sepakat bahawa ia adalah jenayah yang dihukum. Sebagai umat Islam, ambillah neraca syarak itu dalam melihat isu murtad. Jangan biarkan diri kita diasak oleh golongan liberal sehingga akhirnya menganggap bahawa murtad hanyalah hak individu dan kalau berlaku itu hanya kes peribadi sahaja.

Percayalah, setiap kes murtad yang berlaku, ada di belakangnya gerakan dan tindakan dari musuh Islam. Lagi banyak kes murtad berlaku, lagi terdedah negara kepada ancaman musuh Islam dan akan lagi rapuh kekuatan umat Islam untuk mempertahankan Islam.

Kalau bukan Islam berkata bahawa mereka lebih toleransi kerana di antara penganut agama bukan Islam mereka boleh berpindah-pindah dari satu agama ke satu agama lain tanpa sebarang krisis. Fahamilah bahawa itu berlaku kerana kekufuran adalah agama yang satu. Kaedah yang meniti di bibir ramai ulama:

الكفر ملة واحدة

“Kekufuran itu adalah agama yang satu.”

Mereka satu kem, satu kubu. Sebab itu tidak ada sensitiviti untuk berpindah dari Kristian kepada Hindu dan sebaliknya. Tetapi sekali sahaja orang Kristian atau Hindu masuk Islam, kecohlah dunia. Kerana bila seseorang bukan Islam masuk Islam, maknanya dia dianggap telah menukar kem. Itulah anggapan mereka terhadap sesiapa yang masuk Islam. Jadi kita tidak perlu rasa bersalah untuk menganggap bahawa seorang muslim yang murtad juga telah menukar kem.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Isma


Sebaran :


Leave a Reply