Pengasas saluran YouTube Kimchibudu terima anugerah di Korea

Terkini di My KMU !!!!---->
Muhamad Khalid dan isteri bergambar selepas menerima anugerah kehormat di Seoul. - Foto Facebook Muhamad Khalid Ismail
Muhamad Khalid dan isteri bergambar selepas menerima anugerah kehormat di Seoul. – Foto Facebook Muhamad Khalid Ismail

KUALA LUMPUR: ‘Social Influencer’ atau personaliti media sosial, Muhamad Khalid Ismail menerima penghormatan dan penganugerahan darjah serta pingat Rakyat Kehormat Seoul daripada Kerajaan Metropolitan Seoul.

Pengasas saluran YouTube Kimchibudu anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menganggap ia sebagai satu penghormatan besar kepadanya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Seoul, 14 tahun lalu dan menjadikan Korea Selatan sebagai kampung kedua.

“Inilah penghormatan tertinggi yang pernah saya terima daripada kerajaan di Korea Selatan.

“Terima kasih Seoul kerana menghargai usaha saya dan isteri dalam menjadikan Seoul sebuah bandaraya global yang mesra Muslim dengan mengetengahkan pelancongan halal dan menjadi salah satu duta kecil yang menghubungkan Malaysia dan Korea Selatan.

“Tahun ini juga ulang tahun ke-60 hubungan diplomasi antara Malaysia-Korea Selatan,” katanya dalam satu catatan di akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata majlis penganugerahan sepatutnya disempurnakan pemangku Datuk Bandar Seoul pada 25 November lalu namun terpaksa dibatalkan disebabkan kes COVID-19 yang naik secara mendadak di kawasan itu dan hanya sesi fotografi diadakan untuk penerima.

Muhamad Khalid, yang kini menetap di Seoul, turut memuat naik gambar beliau dan isterinya menerima anugerah itu.

Bagaimanapun, anugerah itu bukanlah bermaksud beliau menukar kewarganegaraan.

“Saya masih lagi warganegara Malaysia, Malaysia tanah airku,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply