Politik semakin ‘hangat’ tahun depan, kata pakar

Sekiranya anda menganggap arena politik pada 2020 cukup menarik, tunggu sahaja tahun depan. Menurut pakar politik, keadaan bakal menjadi lebih ‘panas’.

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata rakyat Malaysia akan melihat lebih banyak “drama” daripada ahli politik dalam usaha mereka menarik pengundi menjelang pilihan raya umum.

“Tahun 2020 akan nampak biasa saja jika dibandingkan dengan tahun depan. Ahli politik akan menggembleng tenaga untuk saling bertanding antara satu sama lain.

“Sudah pasti tidak akan ada saat yang tenteram,” katanya kepada FMT.

Azmi, bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara berkata UMNO, PPBM dan PAS akan terus memperjuangkan kerusi yang boleh dimenangi pada pilihan raya umum.

Katanya, gabungan memerintah yang mempunyai majoriti tipis itu akan terus berdepan konflik dalaman dan persekitaran yang tidak menentu dalam pada UMNO, PAS dan PPBM cuba bersatu antara satu sama lain dalam gabungan Perikatan Nasional.

Seorang lagi penganalisis Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata rakyat Malaysia boleh menjangkakan “drama politik” yang berterusan dari kedua-dua belah pihak.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan berusaha untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan tetapi tanpa mengesahkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Sebaliknya, Awang Azman berkata, Perikatan Nasional akan cuba memberi ganjaran kepada ahli politik untuk ‘melompat’ bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

Beliau berkata PH akan terus berpecah dalam sokongan mereka terhadap Mahathir dan Anwar dan “mungkin akan kembali kepada kisah Mahathir vs Anwar, siapa antara mereka akan menjadi perdana menteri berikutnya.”

Bagi PN, katanya, hubungan antara UMNO, PPBM dan PAS mungkin menjadi keruh ketika mereka membincangkan pembahagian kerusi. Banyak pertengkaran juga mungkin berlaku kerana ahli UMNO tidak bersetuju untuk tunduk kepada PPBM.

“Ketegangan akan tercetus di antara mereka,” katanya, sambil menambah akuan berkanun dalam kalangan ahli Parlimen berkemungkinan muncul lagi dengan ahli politik memberikan sokongan kepada seorang calon perdana menteri.

“Ahli politik akan berdepan tekanan PRU dan ini akan dirasai rakyat,” tambahnya.

Awang Azman menambah, gabungan yang memerintah juga akan berdepan kehangatan itu ketika orang terus bergegas dari impak Covid-19, ekonomi yang lembap dan peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan.

“Kos sara hidup akan semakin tinggi dan orang ramai tidak jelas mengenai langkah diambil untuk meredakannya. Rakyat juga akan bimbangkan isu pekerjaan, sementara peruncit risaukan perniagaan mereka,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia juga berkata drama politik 2020 akan berlanjutan sehingga 2021, tetapi dengan lebih ketegangan lagi.

“Kita akan melihat ahli politik berusaha mencipta persepsi negatif terhadap lawan mereka, dan mempersoalkan keabsahan kerajaan sekarang,” katanya.

“Dengan majoritinya yang tipis, kerajaan sekarang mungkin akan berdepan banyak konflik,” katanya.

Susulan itu, beliau menganggap jalan terbaik untuk 2021 adalah dengan mengadakan pilihan raya sehingga negara dapat maju ke depan dari suasana politik sekarang.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertahan dalam undian Belanjawan 2021 minggu lalu dengan majoriti tipis tiga undi.

UMNO, dengan 39 ahli Parlimen, pada September mengugut akan menarik diri daripada kerajaan jika parti Muhyiddin gagal melayan mereka sebagai rakan kongsi dengan memberikan mereka kedudukan menteri penting.

Mereka menyasarkan jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio kementerian penting.

Pada Februari tahun ini, kejatuhan mengejut Pakatan Harapan menyaksikan PN mengambil alih Putrajaya dengan Ahli Parlimen melompat parti untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Muhyiddin atau Anwar. FMT

Mahathir pakar u-turn terbaik negara.

Leave a Reply