Majlis graduasi pandu lalu di era normal baharu

SHAH ALAM: Tiba saja hujung tahun, “timeline” Facebook sudah pasti dibanjiri gambar konvokesyen kanak-kanak tadika penuh ceria dan warna-warni.

Masing-masing teruja dan terharu berkongsi momen indah anak mereka yang berjaya menempuh tempoh setahun di alam pendidikan awal tanpa kehadiran penjaga di sisi.

Namun, pandemik COVID-19 mencetuskan norma baharu dalam kehidupan semua. Jika dahulu, pengurusan sekolah dan ibu bapa berhabis untuk membuat persiapan konsert akhir tahun yang sarat dengan pelbagai persembahan, kini di era pandemik, konvokesyen si cilik berubah 360 darjah apabila penyerahan sijil di hamparan karpet merah dilakukan secara pandu lalu.

Berperang dengan pelbagai SOP yang ketat, sebuah tadika di Shah Alam tidak mahu momen akhir tahun bersama murid berlalu begitu saja, justeru pihak pengurusan menyuntik elemen kelainan dengan mengadakan sesi bergambar dan penyerahan sijil dengan murid berada dalam kereta bersama ibu bapa, Jumaat lalu

Pengetua Pasti Little Imitiyaz Farriz Abdul Rahman berkata, kelainan tahun ini tercetus hasil perbincangan antara guru dan pihak pengurusan yang mahukan kanak-kanak tetap rasa teruja walaupun tidak berada di atas pentas konvokesyen.

“Bagi menyuntik elemen keceriaan, setiap kereta ibu bapa juga dihias penuh warna-warni dan nama anak ditulis di atas kad besar sebelum penyerahan sijil bagi menghidupkan suasana konvokesyen,” katanya kepada FMT.

Menyentuh mengenai persiapan konvokesyen di era pandemik, beliau yang mesra disapa ustaz Farriz berkata berbanding tahun sebelumnya, pihak pengurusan perlu membelanjakan kos yang besar untuk menjayakan majlis itu, dan tahun ini sudah pasti pelbagai kos yang tidak perlu dapat dikurangkan.

“Jika sebelum ini, banyak kos dibelanjakan untuk sewa dewan dan pelbagai perhiasan pentas dan kostum murid. Namun, COVID-19 ini kita mampu berjimat banyak baik dari segi poket ibu bapa mahupun tabung pengurusan tadika,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat ramai ibu bapa yang mahu suasana sambutan majlis graduasi disambut seperti tahun sebelumnya.

“Walaupun ibu bapa reda dengan keadaan sekarang, ada yang datang kepada saya kalau boleh tahun depan mahu majlis ini diadakan seperti sebelum ini kerana lebih meriah dengan persembahan anak-anak.

“Gelagat murid ketika di atas pentas memang aksi yang paling dinanti-nantikan,” katanya sambil menambah majlis graduasi itu hanya membabitkan kanak-kanak enam tahun yang akan menempuh alam persekolahan darjah satu, tahun depan.

Antara pengisian lain yang diterapkan dalam majlis itu, sesi nasihat antara pengetua dan anak murid yang menjadi acara kemuncak pada hari berkenaan.

“Ketika ini ada antara murid dan ibu bapa menangis kerana inilah saat terakhir amanah seorang guru kembali diserahkan kepada ibu bapa sebelum anak mereka mula melangkah ke gerbang persekolahan kebangsaan,” katanya. FMT

10,000 hadir majlis kahwin pandu lalu anak Ku Nan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker