Haziq putus harapan kaki hampir dipotong

Bekas vokalis kumpulan Putera Band, Haziq, 20, pernah berputus asa dengan dunia nyanyian apabila kakinya hampir dipotong selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya, Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, doa yang tidak pernah putus akhirnya dimakbulkan Allah SWT apabila Haziq pulih dan bangkit semula dengan single solo pertama berjudul Kembali Tersenyum.

Haziq berkata, dia bersyukur apabila doanya mahu kembali aktif dalam bidang nyanyian dimakbulkan.

“Pengalaman hampir kaki kena potong menimbulkan keinsafan. Kembali menyanyi dan berada atas pentas adalah salah satu daripada doa ketika terlantar kesedihan.



“Alhamdulillah, ini juga berkat doa mama dan dorongan serta semangat yang diberikan setiap hari. Kini, saya mampu berdiri dan berjalan, malah meneruskan kerjaya sebagai anak seni.

“Jujurnya, saya sangat takut apabila mendapat tahu kaki akan dipotong. Mujur, ada mama yang berusaha menghalang kaki saya dipotong. Jika tidak, tak tahu apa nasib saya sekarang,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut mengenai single solo terbaharu, Kembali Tersenyum, Haziq yang juga anak sulung anggota kumpulan EVA, Linda itu berkata, ia adalah single solo pertama selepas tidak lagi bersama Putera Band.



Lebih membuatkannya teruja apabila lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Haqiem Rusli itu adalah genre muzik yang memang diimpikan, sejak dahulu lagi.

“Jika bersama Putera Band saya tidak bebas untuk memilih apa yang diingini, tetapi kali ini saya dapat menyanyikan genre lagu yang disuka.

“Terima kasih kepada Haqiem kerana menghasilkan lagu ini untuk saya. Lagu dan lirik Kembali Tersenyum memang saya minta Haqiem buat mengenai kisah saya, di mana sewaktu saya terlantar tidak berdaya untuk berdiri, saya ketepikan orang yang disayangi.

“Ini kerana saya tak mahu mereka terbeban dan rasa malu dengan keadaan saya yang sudah tidak boleh berjalan.



Perasaan ini saya luahkan menerusi paparan cerita dalam video muzik Kembali Tersenyum,” katanya.

Dengan itu, Haziq berharap single Kembali Tersenyum mampu meraih sokongan ramai, secara tak langsung mengubati kesedihannya.

“Saya berharap single solo saya ini dapat mengubati kesedihan yang dilalui. Semoga peminat terus setia bersama saya dan menyokong kerjaya saya,” katanya. BH

Pasar mini Lan Solo dirompak



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker