Gesa batalkan Grand Final Gala Night!

Program seolah serap budaya jahiliyah, eksploitasi golongan wanita

Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah sekeras-kerasnya penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang dijadual berlangsung 2 Januari depan.

Mahu acara itu dibatalkan, Ketua BKM, Ustazah Zakiah Ab Rahman menyifatkan penganjuran berkenaan seperti budaya jahiliyah yang mengeksploitasi golongan wanita demi menarik perhatian pengunjung atau ‘pelaris tiket’.

Beliau berkata, budaya jahiliyah yang telah lama dihapuskan, secara perlahan-lahan cuba diserap kembali dalam kalangan manusia, khususnya umat Islam.

“Sedangkan, Islam mengangkat golongan wanita sebanding dengan lelaki. Tetapi, usaha pihak musuh Islam tanpa jemu sentiasa perangkap umatnya termasuk dengan penganjuran seperti ini.

“Contohnya, penganjuran Gala Night ini, tidak mustahil pengunjung atau penontonnya terdiri daripada umat Islam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah penganjuran Grand Final Gala Night kerana bersifat eksploitasi terhadap wanita dan penyuburan kepada budaya hedonistik oleh tamadun yang telah pupus.

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, pihak akan menghantar memo bantahan secara rasmi kepada penganjur dan pihak berkuasa tempat berhubung perkara itu minggu ini.

Menyambut baik tindakan diambil Yadim, Ustazah Zakiah berkata, program itu tidak sepatutnya diadakan, apatah lagi di awal tahun baru 2021.

“Walaupun institusi agama sudah membantah penganjuran ini, golongan muda Islam juga perlu ada benteng kukuh dan diri dan kefahaman jelas dengan hala tuju kehidupan sebagai muslim.

“Malah, cuti Tahun Baru patutnya dihabiskan dengan aktiviti bermanfaat bersama keluarga atau masyarakat, dan bukan hanya berfikir untuk hiburan serta keseronokan semata-mata,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker