Banjir Terengganu, Kelantan makin buruk, jumlah mangsa naik kepada 7,000
Situasi banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8.00 pagi ini meningkat kepada 7,308 berbanding 6,627 petang semalam.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat kepada 6,305 orang daripada 1,663 keluarga setakat pukul 8.00 pagi ini berbanding 5,776 orang (1,478 keluarga) pada pukul 4.00 petang semalam, yang membawa kepada pembukaan tiga lagi PPS, menjadikan jumlah keseluruhan PPS sebanyak 49.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata Kemaman merupakan daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa terkini seramai 5,108 orang (1,238 keluarga) berbanding 4,729 orang (1,135 keluarga) petang semalam.
“Jumlah PPS di Kemaman kekal di 25 lokasi namun peningkatan jumlah mangsa susulan beberapa penempatan penduduk dinaiki air awal pagi tadi akibat air pasang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Di Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 381 orang (104 keluarga) di 10 PPS berbanding 326 orang (95 keluarga) di tujuh PPS sebelum ini manakala di Hulu Terengganu meningkat kepada 806 orang (318 keluarga) berbanding 710 orang (245 keluarga) petang semalam.
Di Setiu pula, mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan paras air tiga sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8.00 pagi iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 18.56 meter (m) (paras bahaya 18.5 m); Sungai Kemaman, Kemaman setinggi 5.12m (paras bahaya 4.5m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun setinggi 12.81m (paras bahaya 12.5m).
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di empat daerah melonjak kepada 1,003 orang sehingga pukul 8.00 pagi ini berbanding 851 mangsa petang semalam, dengan Gua Musang menjadi jajahan terbaharu selepas Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.
Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) satu lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi, Gua Musang bagi menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga termasuk seorang bayi perempuan dan seorang warga emas perempuan.
Setakat ini, Pasir Mas masih kekal mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 603 orang (197 keluarga) termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) di 10 PPS, Kuala Krai (226 mangsa daripada 56 keluarga termasuk dua OKU di tujuh PPS) dan Tanah Merah (161 mangsa daripada 42 keluarga di enam PPS).
Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat pukul 8.00 pagi ini tiga sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras 10.43m (bahaya 10 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.15 m (bahaya 25m) dan di Kg Temangan, Machang 17.43m (bahaya 15.9m).
Tiga sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras amaran pula ialah Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 15.93m (amaran 14m), Sungai Golok di Jenob Tanah Merah 22.65m (amaran 22.5m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat 2.38m (amaran 2.15m).
Sementara itu, dua sungai di negeri ini mencatatkan bacaan melebihi paras waspada iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang 57.49m (waspada 56.00m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.75m (waspada 3m).
Lebih ramai penduduk dijangka terjejas dan dipindahkan susulan cuaca hujan di seluruh Kelantan dengan sesekali lebat ketika ini.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari menasihati penduduk agar tidak mengambil risiko dengan berpindah sendiri ke PPS tanpa pengawasan agensi keselamatan.
“Hal ini sebenarnya bahaya. Kita takut sekiranya mereka (mangsa) tidak mendapat maklumat lanjut berkaitan dari mana berlakunya limpahan air ketika banjir dan ini boleh mengakibatkan terjadinya perkara tidak diingini seperti kenderaan tersekat di tengah jalan dan kes hanyut,” katanya yang bimbang susulan lebih 80 peratus mangsa bertindak demikian menggunakan bot persendirian dan berjalan kaki.
Penduduk tak dapat pulang sebab banjir termenung