Cara politik PH sudah basi, lapuk – Siti Kasim
AHLI Parlimen DAP Teo Nie Ching (Kulai), Yeo Bee Yin (Bakri) dan Hannah Yeoh (Segambut) ditempelak kerana mahu Pakatan Harapan memberikan ‘harapan baru’ kepada rakyat setelah pembangkang tidak berjaya menggagalkan Belanjawan 2021 di Parlimen.
Jurucakap Gerak Independent Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim berkata, cara politik ahli Parlimen pembangkang sudah basi dan lapuk.
Ini berikutan ahli Parlimen pembangkang hanya menurut kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pengundian Belanjawan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Mengapa sekarang baru mahu meminta sokongan rakyat pulak? Mengapa sewaktu mengundi di Parlimen tak ada pun tanya kami?
“Baru sedar ke kami yang undi kamu orang? Bukan Anwar, bukan Lim Kit Siang, bukan ketua-ketua kamu orang.
“Apabila kami memberi undi kami kepada PH sewaktu PRU-14, kami memberi mandat kepada PH untuk mengubah dan membawa negara kita ke hadapan dengan penuh harapan,” kata Siti Kasim di Facebooknya.
Siti Kasim berkata, apa yang rakyat lihat ketika ini adalah pemimpin politik terutama PH terlalu sibuk bertengkar mengenai siapa yang patut menjadi ketua.
Tegas beliau, ahli Parlimen harus mengundi di Dewan Rakyat berdasarkan hati nurani dan prinsip. Justeru beliau menggesa pemimpin parti berhenti memerintahkan ahli Parlimen bagaimana untuk mengundi.
Menurutnya, adalah tidak masuk akal untuk ahli Parlimen PKR dan DAP mengikut sahaja arahan yang dikeluarkan oleh Anwar.
“Adakah itu sebabnya ahli Parlimen kita tidak hadir ke Parlimen atau tidak berminat dengan perkara yang dibahaskan di Parlimen.
“Adakah semua itu kerana mereka tidak ada pilihan bagaimana untuk mengundi – kerana pada akhirnya, mereka harus mengundi mengikut apa yang Anwar atau pemimpin parti mereka arahkan?
“Cara politik kamu orang sudah basi dan lapuk! Kami mahu Ahli Parlimen menjawab kepada rakyat! Bukan kepada pemimpin kamu!” tegas Siti Kasim.
Sebelum ini Nie Ching, Bee Yin dan Hannah berkata, kepimpinan pembangkang memerlukan impian dan harapan baharu selepas tidak berjaya menggagalkan Belanjawan 2021.
Mereka menyarankan agar pemimpin pembangkang kembali semula ke meja rundingan dan memikirkan kembali apa yang boleh mereka tawarkan kepada tanahair dan rakyat.
“Doakan kami mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan sekali lagi. Ketika kita hampir melabuhkan tirai tahun ini, kita perlukan impian yang baharu. Harapan baharu.
“Pengorbanan daripada diri sendiri wajib dilakukan oleh kita semua dengan meletak tepi semua agenda peribadi demi membina sebuah impian yang kolektif,” kata mereka. SM
https://mykmu.net/2017/12/11/negara-perlu-pemimpin-penuh-idea-bukan-lapuk/