Pemimpin Zahir Takziah Di Laman Sosial Pemergian Allahyarham Tun Rahah
Laman sosial Twitter dan Facebook dibanjiri ucapan takziah daripada pemimpin-pemimpin negara serta politik susulan pemergian balu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamed Noah yang dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 4.30 petang, Jumaat.
Allahyarham Tun Rahah, 87, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Perkara itu disahkan oleh putera sulung Allahyarhamah, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Twitter rasminya pada petang Jumaat.
Sementara itu dalam ucapan berasingan di Twitter, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin terawal menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan berita pemergian Allahyarham.