Lelaki Hong Kong sujud syukur dapat pengampunan Sultan Kedah selepas 27 tahun dipenjarakan
PETALING JAYA: Bekas pendandan rambut, Chu Tak Fai dipercayai antara beberapa warga asing yang dipenjarakan untuk jangka lama kerana mengedar dadah, akhirnya mendapat kebebasannya.
Warganegara Hong Kong itu pulang ke tanah airnya minggu lalu, selepas Sultan Kedah memberikan pengampunan ketiga dan terakhir kepadanya.
Lelaki berusia 50 tahun itu menghabiskan 27 tahun di penjara, termasuk pernah menunggu hukuman mati dilaksanakan ke atasnya.
Chu, yang memeluk Islam dengan nama Abdul Hadi Chu, ditahan di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada 30 April 1993 kerana mengedar heroin.
Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati terhadapnya, disusuli Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan itu pada 2001.
Selepas 12 tahun menunggu hukuman mati dilaksanakan ke atasnya, Chu mengemukakan petisyen pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Kedah pada 2006 dan hukuman itu digantikan penjara seumur hidup.
Pada 2014, dia mengemukakan satu lagi petisyen pengampunan dan hukuman penjara seumur hidup digantikan hukuman penjara 20 tahun, yang bermula 2016.
Chu menyerahkan petisyen terakhirnya pada 8 Feb tahun ini untuk dibebaskan dan ia diluluskan sultan.
Peguamnya, Abdul Rashid Ismail berkata, Chu memberitahunya 27 tahun (1993-2020) dalam penjara ialah pengalaman yang mengubah hidup dan menundukkan sikap angkuhnya.
“Dia bangkit daripada detik gelap dalam hidupnya untuk menjadi manusia yang berubah sepenuhnya,” kata Rashid sambil menambah anak guamnya mendapat ketenangan selepas memeluk Islam tiga tahun selepas dipenjarakan.
Menurut petisyen yang difailkan Amnesty International pada 2001, Chu berasal daripada keluarga berpecah belah di Hong Kong.
Dia meninggalkan sekolah tanpa sebarang kelayakan dan sukar mendapat pekerjaan. Dia dilaporkan bersetuju menyeludup dadah ke Malaysia untuk membantu keluarganya melangsaikan hutang besar.
Rashid, yang dibantu Siti Nurani Zahidi dan Uthman Ghani dalam petisyen terakhir, berkata Chu mendapat banyak manfaat daripada bimbingan menerusi Program Pembangunan Insan dan kelas vokasional di Penjara Kajang.
“Tingkah lakunya begitu baik sehingga dia dilantik membantu pegawai penjara dalam pengurusan penjara,” katanya sambil menambah Chu turut menerima anugerah “Blue Suit”.
Hanya 11 daripada 7,000 banduan di Kajang pernah menerima anugerah itu dan Chu satu-satunya warga asing dalam kalangan mereka.
Rashid berkata, keluarga Chu, termasuk ibu dan dua kakaknya, tidak dapat melawatnya di penjara disebabkan kekangan kewangan.
Pada 2011, dia kehilangan ibunya akibat kanser.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Sultan Kedah kerana memberi peluang kepada Chu untuk menghabiskan sisa hidup bersama keluarganya,” kata peguam itu.
You must be logged in to post a comment.