Ikut perjanjian asal, Perak patut kekal di bawah Bersatu – Hamzah

KUALA LUMPUR: Mengikut konsesus yang dicapai dalam pembahagian jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar, Perak sepatutnya kekal milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kerana ia dijawat wakil parti itu sebelum pembentukan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ujarnya lagi, perjanjian itu telah dimeterai antara Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada awal tahun ini.
Beliau berkata, perjanjian mengenai jawatan itu dicapai ketika pembentukan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan, bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh, serta keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri di bawah tiga parti tersebut.
“Ketika pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud kesinambungan antara kepimpinan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Bagi tujuan tersebut, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan ADUN terbesar semata-mata, tetapi ia juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat,” kata Ahli Parlimen Larut itu, dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber Facebook hamzahzainudinofficial

Selain Perak, Hamzah turut menyebut bagaimana Johor diserahkan semula kepada UMNO, menjadikan jumlah negeri yang diketuai parti itu ialah empat, termasuk Melaka, Perlis dan Pahang.

Bagi PAS pula, persetujuan dicapai untuk mengetuai Kelantan, Terengganu, dan Kedah, manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal menerajui Sarawak.

“Alhamdulillah, persefahaman politik ini telah terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“PN telah menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan telah dicapai untuk wakil Bersatu menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Sabah.

Bergerak ke hadapan, Hamzah berkata, persefahaman politik itu harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 akan datang agar Perikatan Nasional bukan hanya dapat terus memerintah sebagai Kerajaan pusat, tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri di bawah pembangkang (Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang.

Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan tersebut, beliau mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional hari ini, iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

“Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya. Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan,” katanya lagi.

Hamzah berkata, sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.

“Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia.

“Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara yang lebih baik, insya-Allah tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker