Exco Perak : Tak mungkin MB akan meninggalkan PAS
PAS Perak yakin parti itu tidak akan ditinggalkan dalam pembentukan Exco Kerajaan negeri baharu, kata Pesuruhjayanya Razman Zakaria.
Razman yakin semangat setiakawan dan penyatuan ummah yang terjalin antara PAS dan UMNO akan terus kekal.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada ADUN Kota Tampan (Saarani Mohamad) di atas perlantikan sebagai Menteri Besar Perak yang ke-14.
“Mengenai pelantikan Exco, itu adalah kuasa Menteri Besar dan kita dimaklumkan pada hari ini hanya lima orang sahaja dilantik, tidak termasuk PAS.
“Tapi saya yakin tak mungkin MB akan meninggalkan PAS”, katanya di sini.
Beliau mengulas perlantikan lima Exco yang dibuat selepas majlis angkat sumpah menteri besar di Istana Iskandariah hari ini tanpa membabitkan wakil PAS.
Empat daripada mereka adalah dari Umno dan seorang, PPBM.
Razman bagaimanapun berkata, pihaknya tetap akur dengan sebarang keputusan walaupun tidak dilantik.
“Apa yang penting sekarang ialah isu rakyat dan bagaimana wakil rakyat yang dipilih dapat berfungsi demi kepentingan rakyat itu sendiri,” katanya.
PAS dilihat ‘berlembut’ daripada pendirian sebelum ini iaitu tidak mahu terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional yang diterajui oleh Umno.
Semalam, presiden parti, Abdul Hadi Awang berkata partinya menyokong pencalonan Saari sebagai menteri besar.
Namun, ADUN PAS bukan antara yang dipilih sebagai EXCO hari ini.
Sebalknya Setiausaha PPBM Perak, yang juga ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin antara lima EXCO mengangkat sumpah jawatan di depan Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah.
Zainol yang dilantik sebagai EXCO kanan, ialah bekas penasihat bertaraf EXCO kepada bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu.
Turut mengangkat sumpah hari ini ialah empat EXCO di bawah pentadbiran terdahulu, iaitu Zolkafly Harun (Lintang), Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Dr Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota). FMT