Dua peluru masih dalam badan – Norihan

Bidor: “Hanya sebutir peluru daripada tiga peluru dapat dikeluarkan dari badan saya,” kata anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Batalion 3, Sarjan Norihan Tari, 39 yang cedera dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, pada 24 November lalu.

Norihan berkata, sebutir peluru berdekatan dengan paru-paru dikeluarkan semasa dia menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya ,dua lagi butir peluru yang menembusi tulang belakang pada bahagian pinggul tidak dapat dikeluarkan kerana bimbang boleh menyebabkan lumpuh.

“Walaupun selamat menjalani pembedahan, tetapi kesannya masih ada di mana saya cepat terasa penat bila berjalan.

“Doktor menasihatkan saya supaya melakukan senaman ringan bagi membolehkan paru-paru saya kembali berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui dekat kediamannya di Kem Batalion 3 PGA, dekat sini.

Dia ditemui ketika dikunjungi Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintendan Rosman Kasman dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Zuraini Majid.

Dalam pada itu, Nurihan berkata, jika dia bersama Sarjan Baharuddin Ramli, 54, dibekalkan dengan teropong malam iaitu alat yang boleh melihat objek ketika di dalam gelap, berkemungkinan kejadian ini boleh dielakkan atau diatasi dengan lebih cekap.

Katanya, ketika membuat tinjauan kali kedua di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan sasaran , mereka berdua berjalan kaki di dalam gelap.

“Sebelum kejadian terbabit, saya berada di belakang Baharuddin dan tiba-tiba ternampak kelibat orang yang dipercayai penyeludup juga sedang membuat tinjauan.

“Berlaku kejadian berbalas tembakan dalam dengan penyeludup terbabit yang menyebabkan saya dan Baharuddin, parah,” katanya.

Katanya, apabila sedar mereka berdua tercedera dalam kejadian terbabit, Baharuddin mengarahkannya mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, untuk sampai ke tempat dia meletakkan motosikal bukannya dekat dan jaraknya kira-kira 1.2 kilometer (km) serta terpaksa mendaki puncak bukit di dalam gelap.

“Dalam keadaan parah, saya terpaksa tenangkan diri dan mengubah laluan keluar kerana takut terserempak dengan penyeludup yang berkeliaran di kawasan itu.

“Ketika itu, saya nekad walaupun dalam keadaan sakit dan nafas tersekat-sekat pergi mendapatkan bantuan dekat pos berdekatan,” katanya.

Menurutnya, dia hanya hanya mengetahui Baharuddin yang mahir dalam penjejak kesan binatang dan manusia di hutan itu terkorban, setelah selesai menjalani pembedahan.

Dalam kejadian 3.10 pagi, 24 November lalu, Norihan dan rakannya, Baharuddin, 54, berbalas tembakan dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di perut, manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.2 km untuk mendapatkan bantuan di pos TS9, sebelum dihantar ke hospital. HM

Kes tembakan PGA: Baharuddin, Norihan dianugerah Pingat Panglima Gagah Berani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker