Had usia semasa masih relevan, tak perlu naik umur bersara, kata CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpendirian tiada keperluan untuk meningkatkan had umur persaraan dinaikkan kepada 65 tahun berbanding 60 ketika ini.

Presidennya Adnan Mat berkata, ini kerana sebahagian besar individu dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas kebiasaannya berdepan beberapa kekangan berkaitan pekerjaan termasuk faktor kesihatan selain perlu mengadaptasi teknologi baharu yang semakin canggih.

“Ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam ini juga mengambil kira pelbagai pertimbangan lain termasuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih banyak golongan muda yang berkemahiran dan berbakat.

“Kemasukan kakitangan muda sudah pasti sedikit sebanyak menyumbang kepada peremajaan sistem perkhidmatan awam sesuai dengan keadaan semasa.

“Justeru, peraturan semasa yang terpakai ketika ini untuk had usia persaraan penjawat awam masih munasabah dan relevan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata umur persaraan penjawat awam juga sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun.

“Kali pertama, had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.

“Ia diikuti tujuh tahun kemudian, apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008, manakala empat tahun kemudian had usia persaraan sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2011,” katanya.

Adnan mengulas mengenai cadangan wakil dan pengurus negara kumpulan Bank Dunia di Malaysia supaya kerajaan meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan status negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.

Atas faktor itu, wakil Bank Dunia mencadangkan Malaysia meningkatkan had minimum usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun dan ia dikaji dari semasa ke semasa sesuai dengan unjuran jangka hayat penduduk Malaysia.

facebook sharing button
twitter sharing button

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker